Abdul Hadi akhirnya akui PN memang rancang nak jatuhkan Kerajaan Perpaduan

Abdul Hadi akhirnya akui PN memang rancang nak jatuhkan Kerajaan Perpaduan

 

Pas mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk ‘menjatuhkan’ Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan.

Jelas beliau lagi, keadaan itu biasa berlaku dalam politik termasuk melalui undi tidak percaya atau mendapatkan Surat Akuan Berkanun (SD).

“Penyokong kerajaan berpaling tadah, biasa berlakulah dan kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan kerajaan campuran yang ada ini, perasaan tak puas hati sesama komponen dia sendiri, itu ada berlaku.

“Dengan sebab itu sesuatu tak mustahil berlaku.

“(Apakah ia dibolehkan?) Dalam negara demokrasi dibolehkan.

“(Sekarang memang ada usaha PN rampas kerajaan?) Ya, itu biasa dalam negara demokrasi, kita berusaha bukan sahaja melalui PRU (Pilihan Raya Umum) tetapi termasuk melalui Parlimen,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi menjangkakan kerajaan hari ini akan tumbang tidak lama lagi.

Ditanya jika cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan, Timbalan Pengerusi PN itu berkata ia ‘tidak boleh dijadikan sebagai kata putus’.

“Kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak jadi kata putus yang menghalang untuk ada perubahan dalam negara demokrasi.

“Mengikut Raja Berperlembagaan, (kedudukan) Raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi, dan ia tak bercanggah,” jelas Abdul Hadi.

Mengenai kenyataan Anwar bahawa Abdul Hadi boleh mengigau dan merancang, Ahli Parlimen Marang itu berkata: “Memang kita berhak merancang dan tiada siapa yang halang kita untuk merancang.”

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu kekal menjadi pembangkang disifatkan sebagai kenyataan awal dan ia boleh berubah kerana politik bersifat dinamik.