Abdul Hadi kata tak munasabah Dr M jadi calon PRK Kemaman, ini respon balas Ibrahim Ali buat Pas terkedu

Abdul Hadi kata tak munasabah Dr M jadi calon PRK Kemaman, ini respon balas Ibrahim Ali buat Pas terkedu

 

Presiden Putra, Ibrahim Ali membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengatakan adalah “tidak munasabah” untuk memilih Dr Mahathir Mohamad bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ibrahim mempersoalkan jika faktor usia menjadi ukuran, mengapa bekas perdana menteri itu dilantik sebagai penasihat empat kerajaan negeri yang ditadbir PAS (SG4).

Malah katanya, jika faktor usia diambil kira, Abdul Hadi juga perlu memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk menyandang jawatan sebagai presiden PAS.

“Presiden PAS telah membuat kenyataan menolak bulat-bulat cadangan Tun M sebagai calon Parlimen Kemaman dengan alasan tidak munasabah. Agak terkejut juga saya alasan yang diberi tidak munasabah.

“Apa yang dikatakan tidak munasabah? Apakah kerana umur atau Tun M tidak layak.

“Jika kerana umur, maka Abdul Hadi juga kena beri laluan jawatan presiden PAS kepada pihak yang lebih muda kerana umurnya sudah lanjut dan sudah bertongkat. Manakala, Tun M belum lagi bertongkat dan cergas bergerak sana sini hingga saban hari keluar negara.

“Jika Tun M tidak munasabah dicalonkan untuk Parlimen Kemaman, apakah munasabah Tun M dilantik sebagai penasihat SG4?” soal Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata adalah tidak munasabah untuk parti itu mencalonkan Dr Mahathir bertanding pada PRK Kemaman.

Katanya, jika pihak tertentu mahu menimbulkan sebarang cerita berhubung calon PRK Kemaman, ia perlu dilakukan berlandaskan cerita yang munasabah.

“Tidak….tidak munasabah hendak timbulkan (cerita) berhubung calon PRK Kemaman… biarlah munasabah,” katanya menurut Malaysiakini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai calon PAS untuk PRK Kemaman yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Dis depan.

Tak rugi beri pada Dr M

Mengulas lanjut, Ibrahim mengingatkan PAS tentang keikhlasan bukan sahaja terletak pada “ucapan di bibir”.

“Jika kena dengan kepentingan diri atau parti maka warna putih boleh menjadi hitam. Janganlah kedekut bila kita sudah berharta kerana Allah tidak suka kepada orang yang kedekut.

“PAS sudah mempunyai jumlah ahli Parlimen yang banyak iaitu 43 selepas PRU-15 dan hilang satu kerusi Kemaman. Apakah ruginya jika diberi satu kerusi Kemaman ini kepada Tun M.

“Seluruh dunia akan tertumpu ke Kemaman dan nama PAS akan melonjak di persada dunia.

“Peranan Tun M sebagai penasihat SG4 akan lebih berkesan. Perahlah susu dan tadahlah dengan mangkuk, dan bukan tempurung,” katanya.