“Ada hati minta duit beli barang pancing, makan minum pun aku tanggung” – Wanita kecewa dapat suami pemalas
Seorang wanita sudah mulai hilang sabar dengan sikap sang suami yang sentiasa mencari alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam mencari nafkah.
Lebih memburukkan keadaan, wanita dikenali sebagai Nad itu malah dipersalahkan suaminya kerana kononnya terlalu mendesak lelaki berkenaan untuk keluar mencari pekerjaan.
Rela berkorban dengan berkongsi ‘hasil’ penat lelahnya mencari rezeki bersama suami, berikut perkongsian Nad mengenai sikap lelaki itu yang seakan tidak menghargai pengorbanannya.
Assalamualaikum. Nama saya Nad, berkahwin sekitar empat tahun yang lalu namun belum dikurniakan zuriat. Saya bekerja sebagai kerani, suami pula suri rumah yang berjaya. Pada dua tahun yang lalu, suami berhenti kerja sebab dia bergaduh dengan rakan kerja. Kemudian dia menganggur selama beberapa bulan.
“Selepas tiga bulan saya tanggung semua makan dan minum serta segala kos utiliti, suami berkata dia berniat membuka perniagaan daging bersama abangnya. Tetapi selepas dua bulan, ada pergaduhan besar bersama abangnya pula. Saya terpaksa tanggung makan dia semula.
“Suami hanya mula mencari kerja dan pergi temu duga selepas satu tahun menjadi suri rumah yang berjaya. Esoknya, suami diterima bekerja di syarikat pengangkutan. Baru setengah hari bertugas, dia mahu balik rumah kerana katanya syarikat itu bayar gaji kecil. Saya bawa motor dari Rembau ke Klang untuk mengambil dia.
“Selang sebulan, mula temu duga lagi. Katanya mahu memandu treler, tetapi selepas bekerja dua hari sudah mahu berhenti. Alasan suami lori tak selamat, sebabnya tiada signal. Sedangkan boleh beritahu majikan untuk baiki kenderaan itu. Saya berpajak dan siap bagi duit lebih kepada suami.
“Semuanya saya keluarkan untuk perbelanjaan rumah, makanan, bil utiliti, pinjaman motor dan duit minyak serta tol suami pergi temu duga kerja. Dapat tawaran baharu, suami hantar pesanan mesej malam itu katanya lokasi tempat bekerja jauh daripada keluarga. Hanya mahu bekerja dekat dengan rumah.
“Saya jemputlah suami dengan kereta. Bawa perlahan sahaja sebab waktu itu, baru dapat lesen. Seminggu selepas itu, dia dipanggil untuk bertugas sebagai pemandu lori simen pula. Apabila dia mengikut latihan sebagai pemandu, saya sudah merasa lega sebab suami nampak berkeinginan untuk bekerja.
“Tetapi pada hari Ahad suami beritahu tak boleh bawa sebab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan penilaian bahawa banyak perkara yang dia tak mampu buat. Saya sabar dan terus bersabar. Pergi temu duga lagi, kali ini jadi pemandu lori kecil untuk produk sejuk beku. Kerja dengan kawan baik dia.
“Suami akan bertugas di lokasi berdekatan dan luar daerah. Dibenarkan untuk balik rumah dua hari sekali. Malam sebelum suami nak pergi bekerja, dia mengamuk pula. Katanya, saya mendesak dia bekerja. Dia mahu bawa treler semula. Kemudian tiba musim perayaan yang bergantung kepada gaji saya bernilai RM1600.
“Memanglah kami tiada anak. Tetapi saya perlu bayar ansuran rumah RM600, utiliti dan pinjaman motor RM250. Sudahlah kuih dan baju raya belum beli. Saya bersedih, tetapi tak tunjuk dekat suami. Sebab nanti suami akan marah-marah. Tiba-tiba satu hari sebelum raya, Allah berikan saya rezeki.
“Saya sertai program penapis air dan ada tiga pelanggan berminat beli. Saya dapat komisen RM1300, rasa macam mahu menangis. Suami tahu dan minta RM500 untuk beli peralatan pancing. Saya tak berikan kerana mahu membeli baju raya untuk kami berdua. Sejak berkahwin saya tak pernah merasa mewah.
“Tetapi baju raya saya hanya beli di platform atas talian iaitu baju kurung kedah yang bernilai RM30. Sedangkan untuk suami, saya beli baju Melayu berharga RM99. Saya reda dengan sederhana. Kemudian beli kuih dan barang basah untuk Aidilfitri kali ini. Duit raya pula saya tukar sebanyak RM300.
“Suami minta juga RM200 untuk beli alatan pancing, saya berikan. Hari raya kedua, eksos pula pecah dan ada masalah brek. Terbang lagi RM500. Beli pula mesin basuh baharu RM800 sebab sebelum ini saya selalu ke dobi. Sudah habis beraya ini, suami masih belum bekerja. Saya sudah tidak mendesak dia, malas bergaduh lagi.
“Sepenuhnya saya usaha sendiri. Apabila balik raya hari itu, suami bercerita kepada mak dan ayah saya yang kami sentiasa cukup makan dan minum. Kata suami, kami susah macam mana sekalipun, tetap dapat makan ayam dan ikan serta udang. Dia tak pernah fikir macam mana saya cukupkan semua keinginan dia.
“Setiap kali tiada duit, dia akan mengamuk dan memaki tak tentu pasal. Saya tiada tempat nak luahkan perasaan. Hidup saya bagai tiada masa depan. Mungkin adalah sebab Allah belum kurniakan zuriat. Saya reda. Tetapi suami asyik bila nak ada anak. Dia suruh saya kurus dan jaga makan.
“Sedangkan kalau ada anak, saya rasa tak mampu lagi untuk menanggung keluarga. Sudahlah saya seorang sahaja yang bekerja. Sekian luahan hati yang saya pendam. Semoga Allah berikan saya rezeki dan masa depan yang cerah. Saya tunggu pelangi yang Allah janjikan.” Kongsi Nad (Bukan nama sebenar) dalam forum atas talian.