Ada kalangan rakyat boikot PRU15

Ada kalangan rakyat boikot PRU15

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal menjadi satu cabaran yang sukar buat parti-parti yang bertanding.

Katanya, disebabkan pengkhinatan terhadap mandat rakyat yang diberikan kepada PH pada PRU lalu, ada di kalangan rakyat serik untuk mengundi lagi.

“Pilihan raya akan datang bukan senang kita nak berkempen. Ada di kalangan rakyat dah tak mahu mengundi lagi.

“(Mereka kata) Buat apa kami pilih wakil rakyat? Bukannya parti yang menang akan memerintah, nanti parti yang kalah boleh memerintah dengan cara perubahan wakil rakyat ini,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan ke-5 di Wisma Amanah, Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad merujuk tumbangnya kerajaan PH pada hujung Februari lalu ekoran Langkah Sheraton yang menyaksikan bekas sekutu mereka, Bersatu serta 10 ahli parlimen PKR keluar daripada gabungan itu untuk menjalin kerjasama bersama BN, PAS, GPS, PBS dan Star di bawah Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, PN kini secara rasminya dianggotai oleh PAS, Bersatu, Star dan SAPP, dan turut disokong oleh BN yang tidak menyertainya.

Bulan lepas, Muhyiddin berkata dia juga mahu mengadakan PRU secepat mungkin namun niat itu tergendala akibat wabak Covid-19.

Namun, kata Muhyiddin, jika keadaan mengizinkan, PRU akan diadakan selepas Covid-19 berakhir untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan.

‘PM muka tak malu’

Menurut Mohamad, keengganan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan menunjukkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak berwibawa dan ‘tidak tahu malu’.

“Dia seorang perdana menteri yang tak berwibawa. Kalau di Jepun atau Korea, orang macam ni dah lama letak jawatan, tapi di Malaysia ni jenis muka tak malu.

“Dia takkan letak (jawatan), walaupun dia undi sampai seri pun (di Parlimen), saya yakin dia tak letak.

“Sebab dia ambil cara pintu belakang, maka dia akan pertahankan selagi dia boleh,” katanya.

Dia dipercayai merujuk bacaan ketiga Belanjawan 2021 minggu lepas, yang diluluskan hanya dengan kelebihan tiga undi – 111 menyokong berbanding 108 menolak, dengan seorang berkecuali.

Sementara itu, Mohamad membayangkan PRU-15 akan diadakan tidak lama lagi berikutan Muhyiddin hanya mempunyai kelebihan tiga kerusi parlimen.

“Khabar angin macam-macam, ada yang kata bulan Mac, ada yang kata bulan Jun. Tapi ia (PRU) dekat, sebab kita tahu perdana menteri kita under siege (dalam tahanan). Dia tak bebas,” katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555881