“Ada yang takut saya rampas, sondol suami mereka” – Mak Wan Latah

“Ada yang takut saya rampas, sondol suami mereka” – Mak Wan Latah

 

SELEPAS terpalit pelbagai kontroversi panas sejak tahun lalu, pelakon Mak Wan Latah mengakui menerima pandangan sinis dan layanan buruk daripada jiran tetangga.

Mak Wan atau Halimatussa’diah Mohd Daud, 62, memberitahu salah satu tuduhan paling berat yang diterima adalah apabila dirinya disangka seorang penyondol dan mungkin merampas suami mereka.

“Macam-macam tuduhan yang saya terima… ada juga wanita yang takut kalau saya merampas suami mereka.

“Kadang-kadang kalau saya lalu dekat kawasan rumah, saya boleh dengar sendiri ada segelintir jiran-jiran yang bercakap belakang fasal saya.

“Sampai ada yang kata takut suami mereka disondol oleh saya… saya pun ada anak menantu, takkanlah saya nak buat begitu,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Mak Wan mendedahkan dirinya juga pernah didekati beberapa lelaki bergelar suami orang yang ingin berkenalan di media sosial.

Enggan timbul sebarang kontroversi, Mak Wan meletakkan prinsip untuk tidak berkawan dengan suami orang kerana tidak mahu timbul masalah berbangkit.

“Memang ada yang mahu berkenalan lebih-lebih lagi di media sosial tetapi saya cepat-cepat block dan jauhkan diri. Saya tidak mahu berkawan dengan suami orang.

“Kita sudah ada ‘nama’ (kontroversi)… nanti jadi lebih besar pula masalah yang perlu saya tanggung,” ujarnya.

Tahun lalu, nama Mak Wan diheret dengan kontroversi apabila bekas suaminya iaitu Husain mendedahkan aktres berkenaan mempunyai akhlak yang tidak baik.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, Mak Wan turut terpalit dengan dakwaan seorang wanita di laman Twitter yang mendakwa pelakon itu melakukan sihir kepada neneknya kerana cemburu.