Adakah Gerik juga akan di isytihar darurat?

Adakah Gerik juga akan di isytihar darurat?

Selepas pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen Batu Sapi di Sabah ditangguhkan susulan perisytiharan darurat, kini timbul persoalan sama ada PRK Parlimen Gerik di Perak juga boleh ditangguhkan selaras dengan keadaan negara yang masih bergelut dalam memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut mereka yang arif dengan perlembagaan negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, boleh berbuat demikian.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz berhujah mengikut perlembagaan, di bawah Perkara 150(2A) Proklamasi Darurat, Al-Sultan Abdullah berkuasa untuk mengeluarkan Proklamasi-Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan.

“Apa yang perlu adalah asas kukuh kepada tujuan membuat pengisytiharan itu seperti mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dan atas faktor keselamatan serta kesihatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Sabah baru-baru ini bagi membolehkan PRK ditangguhkan, sewajarnya dipertimbangkan bagi PRK Parlimen Gerik.

Shamrahayu, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan penelitian seterusnya akan dibuat Al-Sultan Abdullah, sama ada wujud keperluan untuk membuat pengisytiharan darurat di Parlimen Gerik selepas mendengar pembentangan daripada pihak kerajaan.

Sementara itu pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, penilaian kewajaran penggantungan PRK Gerik perlu dibuat oleh pihak yang mengendalikan soal kesihatan, hasil perbincangan bersama-sama Speaker Dewan Undangan Negeri dan SPR, untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, penilaian penting itu sebaik-baiknya tidak dibuat oleh ahli politik, kerana ia boleh ditafsir sebagai langkah untuk mengelakkan persaingan dalam pentas demokrasi politik negara.

“Soal pembatalan PRK perlu dipertimbangkan di antara meletakkan kepentingan melaksanakan hak-hak rakyat sebuah negara demokrasi dan kepentingan menjaga kesihatan serta nyawa rakyat,” kata Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan di Pusat Polisi Perdana UTM itu.

Kerusi Parlimen Gerik kini kosong selepas Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang pada 16 November kerana sakit jantung.

Sumber: Sinar Harian