Adakah wanita dalam ‘idah’ boleh keluar mengundi ketika PRN, ini jawapan Menteri Agama
Wanita yang dalam tempoh ‘idah’ diharuskan untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata asas bagi konsep idah adalah isteri yang baru kematian suami atau balu berkabung dan tidak keluar rumah bagi bergembira untuk menghormati arwah suaminya.
Katanya, dalam konteks pilihan raya, balu terbabit keluar rumah bukan untuk bergembira, sebaliknya bagi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia untuk memilih pemimpin negeri.
“Sebagai warganegara, mereka (balu) ada kewajipan demokrasi untuk keluar rumah dan mengundi.
“Ini bermakna mereka keluar bukan untuk bergembira, tetapi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi.
“Cuma kita berharap, selepas selesai mengundi, balu terbabit perlu terus kembali ke rumah,” katanya selepas sesi penyerahan Program MyHAUS dan Program Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) di Jalan Batu Matang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im turut menasihatkan semua calon dan parti politik tidak menghina serta menabur fitnah kepada pihak lawan ketika tempoh berkempen, sebaliknya menawarkan dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat.
“Kita jangan menghina dan memfitnah, sebaliknya ketika berkempen, beri tumpuan pada polisi serta dasar kepada rakyat setempat.
“Jangan jadikan kempen ini punca perpecahan, parti mungkin berbeza pandangan, tetapi ia seharusnya tidak memecah-belahkan masyarakat,” katanya.