Adegan perang mulut kerana pintu kereta tercalar selesai, “Benda boleh settle buat apa nak kecoh-kecoh”
Pintu kereta tercalar dipercayai punca pertengkaran mulut dua individu di sebuah tempat letak kereta di daerah ini yang tular di media sosial, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada kedua-dua individu berkenaan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.19 petang semalam (31 Julai).
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian berkenaan adalah pintu kereta yang dibuka terkena kenderaan bersebelahan.
Kejadian itu mencetuskan pertengkaran antara kedua-dua pihak terbabit. Tiada kerosakan harta benda serta kecederaan dialami mereka dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata kedua-dua pihak sudah menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik dan tidak mahu memanjangkan siasatan insiden terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
@buletintv3 Pintu kereta tercalar dipercayai punca pertengkaran mulut dua individu di sebuah tempat letak kereta. Bagaimanapun kedua-dua pihak sudah menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik. #buletintv3 #beritaditiktok #pintukereta #berbaik #tular
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 42 saat yang memaparkan dua lelaki bertengkar mulut di sebuah tempat letak kereta, di sini, tular di media sosial, baru-baru ini.