Adham laung keyakinan Malaysia mampu hasilkan vaksin sendiri, tapi…

Adham laung keyakinan Malaysia mampu hasilkan vaksin sendiri, tapi…

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melahirkan keyakinan Malaysia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri.

Beliau yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Isnin ini percaya negara ini mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan awam untuk melakukan inovasi terutamanya dalam pembinaan dan penghasilan vaksin.

“Penghasilan vaksin pertama dalam negara sangat penting, kita kena bergerak ke hadapan dan perlu yakin kerana kita mempunyai para saintis yang boleh digembleng tenaga untuk membuat ‘breakthrough’ dalam inovasi dan ‘penemuan saintifik’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adham akan bertukar portfolio dengan bekas menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Adham berkata, pihaknya akan membuat perjanjian dua hala dengan negara-negara yang telah berjaya menghasilkan vaksin seperti China, India dan Thailand.

Ia berdasarkan kepada lawatan kilang fill and finish (aktiviti perkilangan isi dan selesai) vaksin CanSino di Technology Park Malaysia (TPM) yang akan dibuat beliau pada Isnin depan.

“Teknologi yang ada di kilang berkenaan hanya perlu dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara dari segi keberkesanan keselamatan dan kualiti yang perlu dipatuhi dalam usaha menghasilkan vaksin,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette