Adik Syamsul Yusof luah gembira bakal beraya dengan kakak ipar baru

Adik Syamsul Yusof luah gembira bakal beraya dengan kakak ipar baru

Pengarah, Syafiq Yusof memaklumkan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama abangnya, Syamsul serta kakak ipar baharu, Ira Kazar.

Katanya, hubungan kekeluargaan antara dirinya dengan Syamsul masih terjalin baik kerana air yang dicincang tidak akan putus.

“Apapun berlaku, saya akan berjumpa dan beraya dengan abang. Saya memang dah rancang akan pergi rumah abang dan bawa isteri sekali.

“Saya harap hubungan keluarga kami kembali seperti dulu kerana tiada manusia yang sempurna di dunia. Hari Raya adalah peluang bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya selepas pelancaran filem Polis Evo 3, semalam.

Disoal kesediaan untuk mempertemukan isteri baharu abangnya dengan kesemua ahli keluarga lain, kata Syafiq, dia belum mempunyai perancangan sedemikian.

Walaupun begitu, katanya, sebagai adik dia sentiasa memberikan nasihat serta kata-kata semangat kepada Syamsul yang dilihat bersendirian dalam mengharungi dugaan hidup tersebut.

“Saya selalu cakap banyak bersabar dan ini adalah ujian hidup dia. Saya percaya abang adalah individu yang kuat serta mampu mengharungi situasi ini.

“Abang balas mesej dan dia sedar apa yang terjadi. Sebagai adik, saya perlu bagi sokongan moral selepas dia diserang daripada pelbagai penjuru terutamanya daripada netizen. Saya harap krisis ini berakhir segera,” katanya, memetik Utusan Online.