ADUN Machap guna kabel Hishamuddin dapatkan kerusi MB

ADUN Machap guna kabel Hishamuddin dapatkan kerusi MB

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Hasni Mohammad yang sebelum ini diangkat sebagai calon Menteri Besar Barisan Nasional, mahukan gabungan itu memilih orang muda untuk memimpin Johor.

“Demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan portal FMT.

“Di bawah kepimpinan baharu, Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” kata beliau tanpa menghurai lanjut.

Kenyataan Hasni itu susulan spekulasi bertebaran bahawa selain Hasni, nama ADUN Rengit, Puad Zakarshi serta ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi turut dikemukakan kepada Istana Johor untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar.

Sabtu lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN, berkata Hasni akan dinamakan sebagai calon untuk dilantik oleh Istana Johor menjadi Menteri Besar.

Puad memberitahu FMT petang tadi bahawa beliau yakin Hasni calon paling layak untuk terus memegang jawatan itu dan tidak tahu-menahu mengenai spekulasi yang bertebaran.

Onn tidak dapat dihubungi setakat ini.

Sehingga kini, masih tiada makluman mengenai sebarang upacara mengangkat sumpah Menteri Besar, selepas hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan pada Sabtu.

Zahid dilaporkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Johor Bahru kira-kira 3 petang tadi dalam pertemuan hampir sejam.

Dalam kenyataannya, Hasni berkata, kejayaan BN meraih 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Sabtu lalu adalah berkat kerjasama semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau sebelum ini telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.