Adun PH bawa isu guru PASTI ke sidang DUN Kelantan, ini jawapan Pas

Adun PH bawa isu guru PASTI ke sidang DUN Kelantan, ini jawapan Pas

 

Isu guru-guru PASTI yang dibayar dengan kadar di bawah gaji minimum dan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah isu baharu.

Sidang DUN Kelantan pada semalam menyaksikan ADUN pembangkang di negeri itu, Dr Hafidzah Mustakim membangkitkan soal perkembangan kebajikan guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Hafidzah bertanya apakah pendirian kerajaan negeri berkenaan guru-guru di taska PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

“Saya ingin merujuk kepada satu memo tahun ini daripada Ibu Pejabat Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk arahan menjalankan pemeriksaan berkanun ke atas PASTI, SRITI, SMITI, di seluruh Semenanjung dan Labuan.

“Kita dimaklumkan bahawa ia berkaitan dengan isu pekerja PASTI, SRITI dan SMITI yang dibayar gaji rendah dari kadar gaji yang ditetapkan di bawah perintah gaji minimum 2022.

“Selain itu dibangkitkan juga berkaitan pekerja-pekerja yang tidak dicarum KWSP dan PERKESO.

“Saya mahu tahu pendirian kerajaan negeri dalam hal ini dan apakah tindakan yang sudah diambil,” katanya.

Dalam jawapan balas oleh Exco Kelantan, kerajaan negeri sekali lagi mengatakan bahawa tenaga pengajar PASTI adalah sukarelawan kerana tidak terlibat dengan urusan kerajaan.

“Tenaga pengajar PASTI bukan terlibat dengan kerajaan… ianya adalah lebih kepada sukarelawan,” jawabnya.

Ini bukan kali pertama kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Pas memberikan jawapan sedemikian.

Pada 20 Mac tahun ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengeluarkan kenyataan, mengatakan guru-guru di pusat taska itu bukanlah pekerja, sebaliknya hanya sukarelawan.

Kata ahli Parlimen Alor Setar itu, PASTI adalah aktiviti sukarelawan yang melibatkan ahli parti dan tidak membabitkan aktiviti antara pekerja dan majikan serta bukan aktiviti perniagaan.