Adun Taman Medan positif Covid-19 meskipun telah lengkapkan suntikan kedua vaksin

Adun Taman Medan positif Covid-19 meskipun telah lengkapkan suntikan kedua vaksin

Adun Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri diuji positif Covid-19 walaupun telah menjalani suntikan vaksin.

Ketika dihubungi hari ini, Adun PKR itu berkata dia telah menjalani ujian semalam setelah merasa tidak sihat semasa cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.

Syamsul dimaklumkan mengenai keputusan yang mengesahkan dia positif hari ini.

“Semasa Raya, saya demam, batuk, dan selesema. Hari ini saya rasa lebih baik berbanding Raya.

“Isteri saya, ibu mentua, dan dua anak saya juga positif; kami tinggal di rumah yang sama. Tolong doakan kami sembuh,”katanya kepada Malaysiakini .

Syamsul kini menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu arahan lanjut dari Kementerian Kesihatan.

Katanya, dia menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 10 Mac dan dos kedua pada 31 Mac lalu.

Vaksinasi dianggap lengkap dua minggu selepas dos kedua diterima.

Untuk rekod, Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkat individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Dia berkata perkembangan semasa kebelakangan ini menunjukkan varian baru virus SARS-CoV-2 muncul di luar negara.

Vaksin Pfizer-BioNTech dilapor terbukti 95 peratus berkesan dalam mencegah gejala Covid-19 dalam ujian klinikal terhadap varian koronavirus yang awal.

Berbanding varian B.1.315 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan kini menular di Malaysia, sebuah kajian di Qatar mendapati ia berkesan 75 peratus.

Dalam kedua-dua kajian tersebut, vaksin ini juga mencegah gejala penyakit teruk dan kematian yang disebabkan oleh penyakit ini. – MK