ADUN Tebrau umum keluar Bersatu, beri sokongan kepada BN

ADUN Tebrau umum keluar Bersatu, beri sokongan kepada  BN

Desas-desus kedudukan terkini Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tebrau, Mazlan Bujang akhirnya terjawab selepas mengumumkan keluar parti dan meletak jawatan ketua bahagian berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan juga bekas Pengerusi Bersatu Johor, menyatakan tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong Barisan Nasional (BN), seperti dilaporkan Sinar Harian.

“Saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkuatkuasa serta merta dan keluar parti. Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian Tebrau.

“Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana mana parti tetapi menyokong BN,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini pada Khamis.

Turut menyertai sidang akhbar tersebut 23 ketua cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian Bersatu Tebrau.

Mazlan yang juga Exco Kebudayaan, Pendidikan, Warisan dan Penerangan berkata, sokongan turut diberikan kepada Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.

“Saya juga mengambil pendirian menyokong Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar untuk memimpin semula negeri Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Johor.

“Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik.

“Bersatu dan Pakatan Harapan ( PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir negeri ini,” katanya.

Justeru, Mazlan menyeru kepada semua ahli dan penyokong Bersatu untuk bermuhasabah diri dan menyokong Datuk Hasni Mohamad serta BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.