Afdlin mengeluh permohonannya mendapatkan geran Finas ditolak
Penerbit, pengarah dan pelakon popular, Datuk Afdlin Shauki tidak terkejut apabila permohonan mendapatkan geran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk penerbitan filem Angel of Sandakan ditolak apabila dia secara terbuka menyatakan sokongan terhadap parti pembangkang iaitu PKR, baru-baru ini.
Afdlin berkata, projek penerbitan filem itu adalah bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk mendapat pencalonan atau memenangi trofi di Academy Awards atau Oscars.
“Pada pendapat saya, kenapa perkara ini berlaku adalah tak lain dan tak bukan kerana saya secara rasmi dan terbuka menunjukkan sokongan kepada PKR.
“Saya tidak terkejut dan sedikit-sebanyak sudah pun dapat berasakan inilah yang akan berlaku. Bukan kerana projek ini tidak baik. Sebelum ini saya juga sudah dimaklumkan secara asasnya beberapa individu dalam badan kerajaan itu sudah bersetuju secara lisan. Bagaimanapun, apabila saya menyatakan sokongan kepada PKR, semuanya berubah,” katanya.
Afdlin berkata, penerbitan filem ini sudah mendapat respon dan maklum balas positif daripada golongan kreatif dan profesional di dalam dan luar negara yang juga seorang pemenang Oscar.
Menurut Afdlin, dia melalui syarikat, Petra Group yang diketuai Datuk Vinod Sekhar tidak pernah mencampuradukkan politik dan perniagaan.
“Kami memilih untuk bekerjasama dengan semua pihak dan membuka peluang pekerjaan kepada sesiapa tanpa mengira pandangan politik mereka. Dalam kerja amal pula, Yayasan Afdlin Shauki dan Vinod Sekhar Foundation pula bekerjasama dengan semua golongan dalam usaha membantu sesama manusia tidak mengira latar belakang politik, bangsa atau agama.
“Kerjasama dengan pemuda Pas, Umno dan Bersatu adalah kebiasaan bagi kami. Pada asasnya kerja badan bukan kerajaan (NGO) untuk kemanusiaan dan objektif kami ini adalah sama.
“Oleh kerana projek Angel of Sandakan ini adalah untuk menaikkan nama negara, saya ingat perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya. – HM