Agong perkenan Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM
Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh setahun lagi, berkuat kuasa 12 Mei ini.
Pelantikan semula Azam dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan, hari ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Datuk Seri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024,” katanya.
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun tahun lepas yang akan tamat pada 12 Mei ini.
Azam sudah berkhidmat selama 37 tahun dengan SPRM, yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR).
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama BPR/SPRM sejak tahun 1984, Azam telah melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang antaranya sebagai Pegawai Penyiasat, Pegawai Perisikan, Pegawai Pendakwaan serta tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.
Beliau juga pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam SPRM, antaranya sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).
Atas pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan di BPR/SPRM, Azam telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan.