Agong perkenan kenaikan had jemaah solat Jumaat masjid Wilayah Persekutuan

Agong perkenan kenaikan had jemaah solat Jumaat masjid Wilayah Persekutuan

Jumlah jemaah bagi Solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ditingkatkan kepada 500 orang berkuat kuasa esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu diputuskan pihaknya yang mana sebelum ini had jemaah bagi Solat Jumaat bagi Masjid Wilayah Persekutuan adalah seramai 300 orang.

Beliau berkata, ketetapan baharu itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Keputusan itu dibuat selaras peralihan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang kini diletakkan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi solat Jumaat Kuala Lumpur dan Putrajaya, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 500 orang, manakala bilangan jemaah di tujuh buah Masjid Zon dan Masjid Kariah pula dibenarkan seramai 250 orang.

“Selain itu, bilangan jemaah di Surau Jumaat pula dibenarkan seramai 150 orang manakala bilangan jemaah di Surau Diberi Kebenaran Khas untuk Jumaat pula adalah seramai 100 orang.

“Dalam pada itu, bilangan jemaah di Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 80 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, aktiviti kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter

Mohd. Ajib berkata, bagi solat fardu pula, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 200 orang, jemaah di tujuh buah Masjid Zon dan Masjid Kariah (100 orang), surau Jumaat (50 orang), Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat (50 orang) dan Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat di PPR dan PA DBKL (40 orang).

Menurutnya, bagi solat Jumaat di Labuan pula, bilangan jemaah yang dibenarkan di semua Masjid Zon, Masjid Kariah, Surau Jumaat, dan Surau Diberi Kebenaran Khas adalah separuh kapasiti sebenar.

“Manakala bilangan jemaah bagi solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama.

“Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE