Ahli parlimen bagi 4 dalil mengapa Muhyiddin mesti berundur

Ahli parlimen bagi 4 dalil mengapa Muhyiddin mesti berundur

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sudah empat kali gagal dalam mentadbir negara tatkala penularan Covid-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa bukti kegagalan pertama dilihat daripada peningkatan jumlah kes pandemik.

“Angka-angka berikut menceritakannya. Pada hari Jumaat 29 Januari 2021, sebanyak 5,725 kes baru, menjadikan kes terkumpul mencecah lebih 200,000.

“Jumlah kumulatif kematian pula seramai 733. Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. Kesimpulannya, PM Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan berkata, kedua dalam tempoh 11 bulan dilantik sebagai Perdana Menteri, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi tahun 2020 semakin teruk iaitu jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019.

“Kedudukan yang merosot ini antaranya disumbangkan oleh pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi bagi kes rasuah seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor,” ujar beliau lagi.

Ketiga, Hassan mendakwa Muhyiddin bersama seluruh Kabinet telah gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Ia dibuktikan lagi dengan rating penarafan kedudukan kewangan Malaysia telah jatuh dan pertumbuhan ekonomi menguncup teruk.

“Bukti keempat, Muhyiddin sekarang memimpin sebuah kerajaan minoriti, bukannya sebuah kerajaan majoriti. Muhyiddin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

“PM kerajaan minoriti ini menggunakan Proklamasi Darurat dan seterusnya menggantung Parlimen Malaysia semata-mata untuk terus berkuasa. Perisytiharan Darurat dijadikan alasan untuk kekal memerintah,” katanya lagi.

Untuk rekod, pentadbiran Muhyiddin semakin rapuh apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara rasmi mengumumkan beliau menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin.

Penarikan sokongan itu, Kerajaan Perikatan Nasional hanya mempunyai 109 sokongan Ahli Dewan Rakyat,sekali gus menyaksikan ia telah hilang majoriti yang diperlukan.

Nazri merupakan Ahli Parlimen UMNO BN ketiga membuat tindakan demikian selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. – MG