Ahli parlimen ini ada 70 orang anak? Ini kisah sebenarnya…

Ahli parlimen ini ada 70 orang anak? Ini kisah sebenarnya…

 

Bakal menginjak 41 tahun pada Mei tahun ini, siapa sangka Steven Sim sudah mempunyai seramai lebih kurang 70 orang anak?

Bagi yang tak kenal, sosok ini adalah Steven Sim, merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan sejak 2013, dan kini merupakan Timbalan Menteri Kewangan, membantu PM kita, Dato Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan sehingga pertukaran Kerajaan Persekutuan pada Februari 2020.

Apa yang menjadikan sosok ini begitu unik? Ayuh, sama-sama kita rungkai perkara menarik tentang saudara Steven Sim Chee Keong.

FASIH BAHASA MELAYU

Selain daripada seorang ahli politik, beliau juga merupakan seorang penulis, dan mampu menulis dalam Bahasa Malaysia dengan sangat baik. Beliau kerap menulis untuk Penang Monthly (dahulu Penang Economy Monthly) serta menyumbang pendapat untuk portal berita dalam talian seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Selain itu, beliau juga adalah pengarang “Keberanian untuk Berfikir: Jemputan untuk Memikirkan kembali Politik”. Beliau aktif dalam bidang penulisan dan telah menerbitkan beberapa buah buku, seperti,

I. The Audacity to Think: An Invitation to Rethink Politics (2012)
II. Being Malaysia (2018), sebuah antologi puisi Melayu,
III. Dalam Salju Ada Bunga (2018)
IV. Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah: Adiwira Bangsa (2021 – dalam cetakan), yang merupakan sebuah komentar sosial kontemporari.

Kalau anda ke halaman Facebook beliau pun, beliau rajin menulis dan sering mengemas kini bukan setakat tugasnya sebagai Timbalan Menteri Kewangan, tapi juga kehidupannya sebagai seorang ahli Parlimen.

Selain itu, beliau juga pernah berbalas pantun dengan rakan sekerja barunya yang dulu pernah menjadi seteru politik, iaitu Ahmad Maslan.

Selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara selepas PRU15, beliau kemudian memuat naik ciapan serangkap pantun di akaun Twitternya, dituju khas kepada Ahmad Maslan:

Sama-sama dayung bahtera,
Dayung arah kota permata,
Sama-sama bangun negara,
Junjung titah lupa sengketa,”

Pantun tersebut kemudian dibalas Ahmad Maslan dengan, Kita jumpa di pejabat MOF.

“Dayung arah kota permata,
Handal panglima jadi hikayat,
Junjung Titah lupa sengketa,
Ayuh bersama demi rakyat,”

Semoga lebih banyak pantun antara dua ahli politik ni, ya! Kami tunggu.

WANG POKET SENDIRI

Mungkin bagi orang lain, politik ini kotor dan banyak plot twist. Tapi bagi saudara Steven Sim, menjadi ahli politik adalah wadah untuk berkhidmat dan membantu rakyat tak kira kaum dan agama.

Misi utamanya adalah membina parti yang mampu berkhidmat kepada rakyat – sesuai dengan apa yang diperjuangkan DAP selama ini. Dan sebab itulah membantu orang yang dalam kesusahan merupakan tunjang utamanya sebagai ahli politik.

Kebanyakan wang pendapatannya disalurkan pada rakyat yang lebih memerlukan. Percaya atau tak, kempen PRU15 yang lepas pun digunakan seminima mungkin. Tiada ribuan bendera, billboard besar, malah salah satu alat kempennya merupakan t-shirt “Jalan Teruih” yang dicetak sendiri oleh team sukarelawannya.

Leaflet juga hanyalah hitam putih, yang dicetak menggunakan mesin fotostat yang berada di pejabatnya dengan kuantiti yang diperlukan sahaja supaya tiada pembaziran. Hasilnya, beliau berjaya jimat belanja sehingga 90%!

Wang yang lain pula dapat disalurkan oleh pihak lain yang lebih memerlukan – antaranya adalah misi bantuan banjir, dan juga masyarakat sekeliling yang fakir miskin.

MASALAH RAKYAT

Steven Sim bersama ‘anak-anaknya’ yang sentiasa beliau utamakan.

Sebagai ahli Parlimen Bukit Mertajam, beliau sangat rajin turun padang dan meninjau keadaan rakyat. Tak kiralah hampir PRU atau tidak, muka inilah yang selalu ada untuk rakyat setempat.

Tengok saja hantaran di Facebook selalunya berkaitan dengan bantuan yang diberikannya pada pihak yang memerlukan, tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama. Semua yang dilakukannya adalah kerana sayangkan negara kita, Malaysia.

Inilah yang membuatkan beliau mempunyai lebih kurang 70 orang anak!

Sangat mesra dengan semua orang tanpa mengira kaum atau umur, dan mempunyai lebih kurang 70 anak angkat dari pelbagai kaum – beliau menjaga mereka dari segi mata pelajaran. Mereka ini adalah dari keluarga susah, dan dari keluarga yang pernah beliau berikan pertolongan.

Kebiasaannya, beliau akan mengambil mereka sebagai anak angkat, memberi bantuan dari segi kewangan supaya pembelajaran mereka tak terganggu akibat kesempitan hidup. Tiada apa yang diminta beliau kembali daripada kesemua pertolongan tersebut, kecuali belajar bersungguh-sungguh kerana beliau percaya, anak-anak angkat beliau ini mampu mengubah nasib hidup keluarga mereka satu hari nanti.

Mungkin disebabkan keikhlasan hatinya ini, salah seorang sahabat beliau pernah menghadiahkan sebuah Al-Quran, lengkap dalam kotak dan balutan plastik. Beliau pada mulanya tak berani menyentuh secara sembarangan kerana beliau faham yang kitab suci Al-Quran bukanlah kitab biasa. Ia kitab suci umat Islam yang perlu dihormati.

Jadi beliau meminta panduan seorang guru besar sekolah, Ustaz Azmi Khamis kaedah yang sesuai bagi menghormati kitab suci agama Islam tersebut. Mujurlah Al-Quran yang dihadiahkan itu berserta terjemahan, jadi ia boleh dipegang dan dibaca oleh orang bukan Islam, asalkan tidak salah guna.

Beliau terharu dan percaya, tidak kira mana-mana agama, kita perlu saling menghormati setiap kepercayaan kaum lain dan bukannya dijadikan senjata politik untuk Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.

TIMBALAN MENTERI KEWANGAN

Steven bersama seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Seperti yang kita tahu, beliau sudah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Kewangan kurang dua bulan. Antara kes menarik yang berjaya diselesaikannya baru-baru ini adalah beliau masuk campur dalam kes scam yang mencuri hampir RM50,000. Pencuri tersebut berjaya ditahan atas kepantasan tindakannya selepas bertemu pihak berwajib.

Kisah scam di Malaysia adalah salah satu perkara yang agak merisaukan, dan bakal diambil perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan.

Dalam pertemuan Saudara Steven Sim dengan Bank Negara, 4 perkara utama telah pun digariskan beliau iaitu:

1)Keselamatan (Security) – sistem keselamatan yang lebih utuh bagi mengelakkan scam.

2)Tindak balas (Response & Recovery) – tindak balas pantas dari pihak berkuasa pelbagai jabatan dalam menjejaki scam dan memulangkan semula wang kepada mangsa.

3)Jaminan (Guarantee) – perkongsian liabiliti antara bank dan pendeposit supaya pihak bank tidak mencuci tangan dan pendeposit terpaksa tanggung kerugian sepenuhnya.

4)Hukuman (Penalty) – undang-undang yang lebih tegas terhadap pesalah laku.

Apa apa pun, kami ucapkan selamat maju jaya saudara Steven Sim supaya kekal membantu masyarakat dan juga jawatan baru anda sebagai Timbalan Menteri Kewangan, JALAN TERUIH!