Ahli parlimen Kangar sindir Menteri Pendidikan berkait projek terbengkalai
Anggota parlimen Kangar Amin Ahmad menyindir Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin berkaitan projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang dibangkitkannya.
Amin membangkitkan status Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai menteri pendidikan ketika projek itu sepatutnya siap beberapa tahun lalu.
“Kata Menteri. Menteri masa tu,” tulisnya yang meletakkan status Radzi di Twitter sebelah menyebelah dengan gambar Muhyiddin dengan tahun perhidmatan 2009-2015.
Radzi semasa lawatannya ke Perlis kelmarin membangkitkan isu pembangunan sekolah di Bukit Chabang, Padang Besar yang sepatutnya siap pada 2014 tetapi masih terbengkalai.
Menulis di media sosial, dia berkata isu itu telah dibincangkan secara terperinci di peringkat kementerian.
“Insya-Allah, awal tahun hadapan kerja-kerja di tapak pembinaan akan berjalan semula,” katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika lawatan ke tapak sekolah itu, dia berkata terdapat kira-kira 25 projek ‘sekolah sakit’ di seluruh negara yang perlu perhatian segera.
Mengulas mengenai Sekolah Sukan Malaysia Perlis, dia berkata kontraktor baru akan memulakan pembinaan pada Januari tahun depan dan dijangka siap selama 24 bulan seperti yang dijadualkan.
Amin Ahmad
Katanya tumpuan utama ketika ini adalah untuk menyiapkan fasa satu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM41 juta.
Bernama melaporkan projek yang dijangka siap pada Jan 2023 atas tanah seluas 25.50 hektar itu boleh menampung kapasiti 600 hingga 700 murid.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada Malaysiakini tengah hari ini, Amin berkata isu projek itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Perlis dan gagal diselesaikan Muhyiddin sebagai menteri berntanggungjawap pada masa itu.
Amin berkata ia menjadi satu lagi “rekod kegagalan” semasa dia memegang jawatan tersebut.
Amin mendakwa terdapat kelemahan tata kelola kerajaan dalam pemilihan syarikat kontraktor dan menjadi “episod kerugian kepada rakyat kerana kos menyiapkan projek ini menjadi semakin tinggi”.
“Saya juga berharap pembinaan kemudahan sekolah-sekolah sukan di Malaysia mengambil kira spesifikasi standard daripada badan-badan sukan profesional agar kemudahan ini berkualiti dan dapat menyediakan atlet yang diharapkan untuk menggalas cabaran dan mengharumkan nama negara nanti,” katanya.
Amin berkata sekolah-sekolah di Perlis juga memerlukan lebih perhatian daripada segi kemudahan susulan pertambahan penduduk, bangunan rosak dan ancaman daripada kuari berhampiran.