Ahli Parlimen PN kata boleh mohon pelepasan kuarantin

Ahli Parlimen PN kata boleh mohon pelepasan kuarantin

Selepas kehadirannya di Dewan Rakyat dianggap melanggar arahan kuarantin wajib,
Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan tampil membuat penjelasan dalam satu kenyataan, malam tadi.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata beliau hadir di Dewan Rakyat semalam selepas mendapat pelepasan awal Kementerian Kesihatan (KKM) daripada menjalani pemantauan dan pemerhatian mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurut pemimpin parti komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu, surat pelepasan bertarikh 23 November yang diterimanya ditandatangani pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Lembah Pantai di ibu negara.

“Mana-mana individu yang menjalani kuarantin kendiri boleh memohon untuk pelepasan awal, tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan selepas menjalani saringan kesihatan,” katanya.

Jelasnya, keputusan itu dibuat KKM selepas melakukan beberapa ujian calitan Covid-19 dan darah terhadapnya sejak ketibaannya di Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Semalam, Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) dari Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mempertikaikan kehadiran Jeffrey di Dewan Rakyat yang dianggap melanggar arahan kuarantin wajib 14 hari ditetapkan KKM terhadap mereka yang datang dari Sabah.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, tiada isu tidak mematuhi peraturan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Isu pilih kasih juga, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, tidak timbul kerana pelepasan awal itu bukan hal politik.

Beliau dalam masa sama menafikan dakwaan yang turut mengatakan beliau masih berada di Kota Kinabalu pada 13 November lalu dan menganggap dakwaan itu sebagai fitnah dan berniat jahat bertujuan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin.

Sumber: Malaysia Dateline