Ahli parlimen tak boleh bincang kepentingan rakyat di kedai mamak, kata Salahuddin

Ahli parlimen tak boleh bincang kepentingan rakyat di kedai mamak, kata Salahuddin

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa agar Parlimen bersidang semula bagi memastikan berlaku proses semak dan imbang.

Timbalan Presiden AMANAH berkenaan berkata, proses perundangan Dewan Rakyat tidak harus digantung memandangkan rakyat menghadapi pelbagai masalah impak pandemik.

“Tolong bersidang semula. MP tidak boleh membincangkan kepentingan rakyat di kedai mamak.

“Rakyat sedang meminta bantuan sekarang,” tegasnya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kedudukan dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat, tetap sama seperti sedia kala dan berterusan kerana persidangan Parlimen sekadar digantung.

Jelasnya, semua aktiviti kaukus atau kumpulan rentas parti Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan.

Bagaimanapun, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendapat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pihak eksekutif serta kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.

Darurat berkuat kuasa hingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR pada 14 Januari lalu, mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Pengisytiharan darurat berlaku ketika negara berdepan krisis pandemik dan krisis politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pengisytiharan darurat menggambarkan kelemahan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti dan terpaksa bergantung kepada Perkara 150 Perlembagaan. 

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang juga Ketua Pembangkang Negeri Perak pula bimbang tempoh darurat memberikan kuasa tanpa batasan kepada kerajaan PN hingga boleh melanggar sekatan-sekatan di dalam Perlembagaan. – MD