Ahmad Said disebut-sebut calon BN dalam PRK Kemaman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Urusetia UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin, adalah di antara nama disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bakal diadakan.
Mohamed Rahim yang juga bekas calon DUN Cukai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu, berkata beliau tidak menolak jika namanya dipilih sebagai calon pada PRK Kemaman yang dijangka diadakan pada November ini.
“Saya tidak menolak (sekiranya terpilih) dan akur dengan keputusan parti dan berusaha sedaya upaya dan bekerja keras bagi mencapai kemenangan pada pilihan raya itu nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Namun, dalam masa sama, katanya, beliau memberi keutamaan kepada Ahmad yang juga Ketua UMNO bahagian Kemaman untuk bertanding pada PRK itu nanti.

Sementara itu sumber UMNO Bahagian Kemaman berkata, selain Mohamed Rahim, Ahmad (Said) juga mendapat sokongan disenaraikan sebagai calon.
Katanya, pada mesyuarat UMNO Bahagian Kemaman baru-baru ini, semua ahlinya bersetuju sebulat suara memilih Ahmad sebagai calon untuk bertanding pada PRK itu nanti.
Selain dua nama besar Itu, katanya, ada sekurang-kurangnya lima lagi nama dipilih oleh UMNO bahagian termasuk Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Zulkefli Abu Bakar dan Datuk Ahmad Shaberry Cheek untuk disenaraikan sebagai calon.
“Semua nama tersebut akan diserahkan kepada UMNO negeri untuk disenarai pendek sebelum dipilih UMNO Pusat.
“Bagaimanapun, Ahmad Shabery menolak cadangan namanya kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai Pengerusi FELDA,” katanya.
Sumber berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Pengerusi Perhubungan negeri, Ahmad adalah pemimpin paling layak dipilih sebagai calon PRK Kemaman kelak.
Katanya, Ahmad juga antara pemimpin parti di negeri ini yang memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU-15 melibatkan Parlimen Kemaman.
“Selain itu, ada maklumat menyatakan seorang ahli akademik yang juga anak tempatan bakal diketengahkan sebagai calon dalam PRK Kemaman,” ujarnya.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman dalam PRU15, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya itu.
Susulan keputusan mahkamah itu, pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan, sebaliknya bersedia menghadapi PRK.
Dalam PRU15 lalu, Che Alias Hamid (PAS) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.
Che Alias memperoleh undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad yang memperoleh undi sebanyak 38,535.
Dua lagi calon yang bertanding dalam Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.