Aiman Tino bawa keluarga hantar rombongan merisik, ibu pertama kali jumpa kekasih

Aiman Tino bawa keluarga hantar rombongan merisik, ibu pertama kali jumpa kekasih

 

PenyanyiAiman Tino, 24 mengesahkan bahawa dirinya sudahpun ‘berpunya’ apabila berkongsi Insta Story sewaktu ibu tersayang menyarung cincin ke jari manis teman wanitanya.

Harap pertemuan sebagai permulaan kebahagiaan

Memetik laporan dari Mstar, ibu kepada Aiman iaitu Hazelina Abd Jalil mengatakan yang mereka memang telah menghantar rombongan merisik ke rumah teman wanita penyanyi itu dikenali sebagai Syarah Haifa, 24, di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ibu restu hubungan

Ujar Hazelina, sebagai ibu dia sangat merestui hubungan anaknya dengan gadis pilihan dan pertemuan tersebut sebagai sesi suai kenal bersama keluarga.

“Semalam hanya majlis merisik sahaja. Sekadar sesi suai kenal antara kedua belah keluarga. Itu pun kali pertama saya berjumpa Syarah.
“Ini adalah pilihan Aiman dan sebagai ibu pastinya saya merestui hubungan tersebut. Mereka sudah lama berkenalan dan Aiman mula cakap untuk ke fasa seterusnya sejak beberapa bulan lalu.
“Apabila dia sudah tergerak hati, maka saya dan ayahnya menyokong keputusan tersebut,” katanya.

Belum tetapkan tarikh ke fasa seterusnya

Walau bagaimanapun, mereka belum menetapkan sebarang tarikh untuk ke fasa seterusnya dan menyerahkan hal tersebut kepada Aiman dan pasangan untuk berbincang.

Hazelina menyifatkan bakal menantunya sebagai seorang yang baik dan lemah lembut serta menerima keluarga dari pihak lelaki dengan baik.

“Saya tak boleh nak cakap lebih-lebih soal kahwin kerana belum ada perancangan. Perbincangan akan dibuat antara keluarga kedua-dua belah pihak nanti.
“Syarah seorang yang cantik dan lemah-lembut. Keluarganya juga menerima kami dengan baik. Saya harap peminat Aiman juga dapat merestui hubungan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, gambar ibu kepada penyanyi yang memiliki nama sebenar Mohammad Aiman bin Yusri itu menyarungkan cincin ke jari tangan seorang gadis telah mencuri perhatian ramai.

Ramai yang menyangka bahawa dia telah pun bertunang dan mengucapkan tahniah diatas fasa baru dalam kehidupan.