Air sungai Kuala Muda surut mendadak, MB Kedah harap kerjasama Pulau Pinang

Air sungai Kuala Muda surut mendadak, MB Kedah harap kerjasama Pulau Pinang

 

Kerajaan negeri Kedah mengambil kira pandangan beberapa agensi berkaitan dalam usaha menangani gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pandangan dan nasihat teknikal daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diambil sebelum pelepasan air di Empangan Muda dan Empangan Beris dibuat.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjelaskan, pelepasan air itu bagaimanapun memerlukan kerjasama negeri jiran, Pulau Pinang untuk menutup baraj bagi memastikan air empangan yang dilepaskan tidak mengalir ke laut.

“Pelepasan itu perlu nasihat daripada teknikal MADA dan JPS.

“Cuma masalah kita sekarang ini baraj di sebelah Pulau Pinang tak ditutup. Bila baraj itu tak tutup, setelah air dilepaskan, baki daripada kita dapat sedut, akan ke laut.

“Saya harap benda itu dapat diatasi segera, supaya bila kita lepas air, dapat tahan di baraj itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Kuala Muda di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 251,800 akaun di tiga daerah di Kedah terjejas membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling bermula Ahad.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula pada jam 7.25 pagi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Menurutnya, kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal, Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah mengambil langkah-langkah kompetensi bagi menghadapi masalah gangguan air di negeri ini berikutan fenomena cuaca El Nino yang dijangka berpanjangan hingga Julai ini.

“Untuk jangka pendek ini kita segera hantar air menggunakan lori, untuk jangka masa sederhana kita buat rumah pam dan jangka masa panjang kita hendak siapkan naik taraf lori rawatan air (LRA) dan juga penggantian paip,” katanya.

Dalam masa sama, Sinar Harian juga melaporkan, ribuan pengguna di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan kawasan selatan Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air bermula Ahad hingga Rabu.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melalui kenyataan juga menjelaskan, paras Sungai Muda turun mendadak bawah 1 meter di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang Seberang Perai.

Penurunan mendadak itu tidak diketahui puncanya dan disebabkan kejadian itu, PBAPP tidak dapat mengabstrak air mentah dari Sungai Muda yang merupakan sumber air mentah utama negeri tersebut.