Ajal ketika bertugas, juruteknik maut disengat tebuan

Seorang juruteknik dilaporkan meninggal dunia dipercayai angkara disengat oleh tebuan ketika melakukan kerja baik pulih di sebuah pencawang komunikasi di Felda Gunung Bongsu, Kulim, Kedah, lapor Astro Awani.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa dikenali Mohamad Hafizuddin Husim, 30, disahkan telah meninggal dunia.
Mangsa dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 12.10 tengah malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Kulim.
Menurut Mohd Redzuan, ekoran kejadian itu, polis telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh rakan mangsa pada jam 3.30 pagi tadi.
Mangsa pada awalnya dihantar ke sebuah klinik kesihatan sebelum dihantar ke Hospital Kulim
“Rakan mangsa memaklumkan, ketika kejadian (petang Rabu), mangsa sedang melakukan kerja baik pulih kerosakan di atas pencawang sebelum tiba-tiba diserang kawanan tebuan.
“Mangsa yang dalam keadaan lemah sempat turun dari pencawang dan terus dibawa ke sebuah klinik kesihatan untuk menerima rawatan.
“Doktor yang merawat mangsa kemudian meminta mangsa dihantar ke Hospital Kulim kerana keadaan mangsa agak tenat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Mohd Redzuan lagi, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati bahawa mangsa maut disebabkan kejutan anafilaksis yang teruk akibat sengatan tebuan.
Kata beliau lagi, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa kemudianya diserahkan kepada keluarga sebelum dikebumikan di Derga, Alor Setar.