Akhirnya berita yang dinantikan pencarum KWSP selama ini bakal jadi kenyataan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pertimbang menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.
Memetik Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika ini, pengeluaran secara berkala atau bulanan itu dilakukan secara sukarela.
Menurut beliau, ini kerana ia dilihat mampu memberikan peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Dalam masa sama beliau berkata, pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.
“Kita sememangnya memberi pilihan pengeluaran kepada ahli KWSP yang sudah mencecah usia persaraan 55 tahun untuk sama ada pengeluaran penuh atau sebahagian.
“Namun, ahli yang memilih pengeluaran secara bulanan masih tidak ramai dan ini adalah ruang untuk kami perlu promosi dengan lebih lagi,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 pada Rabu.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan secara mandatori itu memerlukan kajian yang lebih teliti dan perbincangan lanjut dengan kerajaan.