Akhirnya Hadi tampil mengaku jadi watak utama tercetusnya ‘Langkah Syaithon’

Akhirnya Hadi tampil mengaku jadi watak utama tercetusnya ‘Langkah Syaithon’

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata dirinya merupakan individu yang memulakan langkah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Jelasnya, ini sebagai tindak balas terhadap usaha pentadbiran PH mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan memeterai Statut Rom dan cubaan menandatangani konvensyen PBB mengenai antipenindasan kaum (Icerd).

Dia bertegas mengulangi dakwaannya bahawa cubaan untuk meratifikasi dua konvensyen itu sebagai bukti bahawa beberapa parti komponen dalam PH adalah anti-Islam.

Selepas dua isu itu mencetuskan kontroversi, Hadi berkata dia mendekati Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada masa itu untuk menjatuhkan pentadbiran PH.

Susulan persetujuan Muhyiddin, Hadi berkata rundingan itu kemudian diadakan bersama Umno.

“Hasil persetujuan itu maka digerakkan langkah di mana Tan Sri Muhyiddin mengumumkan keluar daripada PH.

“Saya mencadangkan presiden Bersatu sebagai calon perdana menteri baru.

“Umno pun setuju ketika itu sehingga muncul kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan PH,” katanya lapor Harakah Daily.

“Kewujudan kerajaan PN bukan secara tebuk atap atau pintu belakang. Ini kerana pelantikan Tan Sri Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya majlis Penyatuan Ummah di Kota Bharu malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, selepas Umno berjaya menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dengan dari kalangan pemimpin mereka, mereka mahu PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Kata Abdul Hadi, Umno malah memberikan kata dua kepada PAS demi meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara kedua-dua part itu.

Pada 2019, kerajaan PH ingin meratifikasi beberapa perjanjian dan konvensyen antarabangsa, termasuk Statut Rom dan Icerd, tetapi tidak meneruskannya berikutan bantahan dan demonstrasi jalanan yang diketuai oleh Umno dan PAS.