Akhirnya Khairul Aming jawab persoalan netizen kenapa tidak beli kereta mewah walaupun dah kaya
Pempengaruh media sosial, Khairul Aming akhirnya tampil menjawab soalan warganet yang sering kali tertanya mengapa usahawan muda itu tidak pernah membeli kereta mewah.
Melihat kepada kejayaan Khairul Aming sepanjang bergelar chef selebriti sehingga mampu membuka dua kilang sambal nyet, anak kelahiran Kelantan itu sebenarnya lebih dari mampu untuk menggunakan kenderaan-kenderaan mewah.
Bagaimanapun menerusi hantaran di akaun TikTok @syaz_aa, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memberitahu dia sudah terbiasa untuk hidup secara sederhana.
“Kalau kita dah biasa hidup cukup-cukup, kalau boleh kita nak pendapatan yang lagi besar supaya boleh tidur dengan tenang.
“Sebab saya tak naik taraf (kereta) adalah, dengan pendapatan yang sekarang, kalau saya kekalkan gaya hidup saya sekarang, saya boleh tidur dengan tenang sebab dah ada simpanan duit yang selesa untuk kita hidup dengan tenang,” katanya.
Pemenang Anugerah TikTok 2023 itu juga menyatakan jika dia menambah komitmen baru, dia seolah-olah kembali kepada gaya hidupnya yang lama kerana duit tak pernah cukup.
“Tapi masalahnya ialah bila pendapatan kita dah besar, dan kita tambah lagi perbelanjaan yang besar. Kita akan pusing balik ke tempat yang sama.
“Maksudnya, kita takkan boleh hidup dengan tenang jugak. Sebab duit tak akan pernah cukup,” ujarnya.
Selain itu, Khairul Aming turut mendedahkan dirinya tidak suka membuat pinjaman peribadi atau bank semata-mata untuk memenuhi kehendak dan menganggap kehidupan bebas hutang adalah jauh lebih baik.
“Saya memang tak ada loan (pinjaman), satu-satunya yang saya ada ialah kereta Perodua Bezza itu sahaja, yang lain semua aset yang dah dibeli dah habis bayar termasuklah dekat kilang
“Dekat kilang semua mesin juta-juta itu semua dah habis bayar, itu semua aset saya.
“Kalau la satu hari nanti saya mati, bisnes saya tak jalan, keluarga saya boleh jual semua mesin-mesin yang ada, boleh dapat duit daripada itu untuk mereka,” katanya.