Akhirnya Khalid mengaku dakwaan portal pro Azmin, tetapi…

Akhirnya Khalid mengaku dakwaan portal pro Azmin, tetapi…

Pemimpin Amanah Khalid Samad mengakui beliau menyokong usaha sebuah syarikat hartanah swasta untuk menukar keputusan membatalkan pindah milik sebuah plot tanah di Kualam Lumpur bagi pembangunan bercampur di ibu negara ketika beliau memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Shah Alam itu membuat pengakuan tersebut walaupun dasar kerajaan PH yang menolak menteri-menterinya memberikan sokongan yang menguntungkan syarikat-syarikat swasta.

Bagaimanapun Khalid mempertahankan tindakan beliau tersebut, mengatakan projek berkenaan akan memberikan manfaat kepada penduduk miskin bandar kerana sebahagian daripada projek tersebut adalah pembinaan rumah mampu milik sambil menambah ia sejajar dengan matlamat kementeriannya untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik di ibu negara.

“Ini kerana, rumah mampu milik diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah di Kuala Lumpur kerana harga rumah biasa adalah mahal dan tidak mampu dimiliki oleh golongan ini yang ramai bekerja di Kuala Lumpur,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Khalid berkata beliau memberikan arahan kepada pembantunya untuk merujuk permohonan Saujana Beringin Sdn Bhd, syarikat yang dikesan dimiliki oleh beberapa individu termasuk adik kepada bekas perdana menteri, kerana beliau bukan sebahagian daripada jawatankuasa eksekutif tanah bagi Kuala Lumpur.

“Oleh itu wajar saya memberikan pandangan mengenai cadangan pembangunan ini secara bertulis,” katanya.

Sumber – MalaysiaNow