Akhirnya perjuangan Royalti Tok Guru Nik Aziz berakhir dengan kesedihan – Husam
Isu royalti sangat dekat di hati saya. Ramai pejuang royalti di zaman Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar bersama-sama berusaha menggerakkan massa untuk menuntut royalti daripada kerajaan pusat pada masa tersebut. Anak-anak muda Kelantan bangkit bersama-sama demi menuntut hak Kelantan yang telah lama dinafikan.
Sebagai salah tanda kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bayaran royalti ini, saya telah berjumpa dengan Menteri Petroleum Kurdistan. Kurdistan adalah sebuah wilayah semi-autonomi. Wilayah ini telah dinafikan hak “royalti” minyak oleh Iraq pada masa tersebut.
Kurdistan telah melaksanakan inisiatif sendiri dengan membuat saluran paip minyak nun jauh di Ceyhan, Turki untuk mengeluarkan dan memproses minyak dan menjualnya sendiri dengan peratusan jualan dikongsi sedikit dengan Turkey memandangkan negara kuasa besar itu membenarkan minyak diproses di kawasannya.
Akhirnya Kurdistan berjaya.
Inilah antara usaha kami di Royalti dahulu. Demi negeri tercinta Kelantan. Moga Allah rahmati para pejuang Royalti yang sebahagiannya telah pergi meninggalkan kita semua. Allahummaghfirlahum warhamhum.
Masih ingat di awal perjuangan kami dulu, ada yang sinis akan tuntutan ini. Alhamdulillah semasa kerajaan PH memerintah kerajaan PH telah memberi 400 juta masuk terus ke dalam akaun kerajaan negeri tanpa prejudis walaupun berlainan ideologi politik.
Kenyataan terbaru Menteri Kewangan dalam parlimen amat mendukacitakan rakyat Kelantan. Kelantan tidak akan diberikan royalti tetapi hanya wang ehsan. Saya masih ingat kata-kata Tok Guru Nik Aziz dahulu bila bercakap soal wang ihsan-royalti.
“Gapo dia wang ihsan?. Ihsan ihsan ni kesian. Kawe buke kkandok(berkehendak) pado kesian demo. Kawe nok hok kawe”. Begitulah Tok Guru Nik Aziz, sangat semangat dan bersama-sama berusaha untuk dapatkan hak Kelantan.
Isu royalti ini sangat dekat di hati saya dan team royalti. Ini adalah hak yang telah dinafikan. Kita doakan agar suatu hari nanti Kelantan akan mendapat hak yang sewajarnya.
Husam Musa,
Salor.
Jumaat barakah.
Kelantan Negeri Sekebun Bunga.
#royalti
#petroleum
#kelantan
#malaysia