Akhirnya punca Lee Chong Wei kecewa terhadap sikap kem Lee Zii Jia didedah, memang tak matang
Bekas jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kecewa dengan pasukan Lee Zii Jia termasuk jurulatihnya, Wong Tat Meng yang menuduh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuli pemain profesional.
Ia selepas BAM menetapkan peraturan bahawa pemain bukan profesional tidak boleh memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Jelas Chong Wei, BAM sudah pun memaklumkan pemain profesional hanya tidak dibenarkan memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM tetapi masih boleh menggunakan kasut dan raket daripada penaja masing-masing.
“Saya fikir peraturan yang dibuat BAM untuk pemain profesional adalah munasabah disebabkan komitmen dengan penaja mereka. Kenapa pasukan Zii Jia mahu menjadikan perkara ini sebagai isu ketika pemain profesional yang lain seperti Ong Yew Sin, Teo Ee Yi dan jurulatih mereka, Rosman Razak tidak mempunyai masalah.
“Zii Jia seperti sengaja mahu mencetuskan isu yang tidak sepatutnya. Dia sepatutnya lebih matang bagi menangani perkara ini dengan lebih bertanggungjawab,” kata Chong Wei, memetik Harian Metro.
Beliau yang juga pengurus badminton bagi program Road to Gold (RTG) menegaskan, seandainya Zii Jia tidak berpuas hati dengan peraturan ditetapkan BAM dan berasa tidak selesa, dia boleh memilih untuk tidak menyertai latihan di ABM.
Katanya, tujuan utama untuk pemain profesional dan pemain kebangsaan berlatih bersama adalah untuk meningkatkan tahap permainan masing-masing.
“Nasihat saya untuk Zii Jia ialah dia perlu menunjukkan penghargaan berbanding terus mengeluh,” kata bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu.
Tat Meng menerusi laporan Arena Metro semalam mengakui sangat terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos ini.
Jelasnya, apabila BAM menegaskan perkara itu ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar, beliau secara peribadi berasakan ia seperti dibuli oleh orang besar.
BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional pada awal tahun lalu.