Akhirnya Sajat berjaya loloskan diri ke Australia

Akhirnya Sajat berjaya loloskan diri ke Australia

Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat didakwa menetap di Australia dan memberi bayangan untuk tidak kembali ke Malaysia.

Perkara itu dikongsikan menerusi ciapan seorang wartawan yang berpusat di Kuala Lumpur, @amerhadiazmi yang menyatakan Nur Sajat muncul di Instagram mengumumkan bahawa dia kini berada di Australia, selepas diberi status tinggal tetap di sana, menurut laporan Utusan Malaysia.

Sajat dilaporkan berkata, dia bersyukur sistem perundangan Australia mengakui dirinya secara sah sebagai wanita, sehubungan itu dia akan memulakan perniagaannya di sana.

Malah, usahawan sensasi itu menyifatkan dirinya dan negara ini sudah “bercerai” serta tidak mungkin dapat bersatu kembali.

“Saya berada di tempat yang selamat dan di mana saya boleh menjadi diri sendiri.

“Kita (dia dan Malaysia) sudah cerai, sudah talak tiga, maaflah kita tak boleh bersatu kembali,” katanya.

Ditanya soal status agamanya, Sajat berkata, perkara itu adalah masalah peribadi dirinya dan tidak perlu diketahui umum.

“Jika saya masih beragama Islam, saya bersama (agama) Islam saya, anda bersama Islam anda,” katanya.

Terdahulu, keberadaan figura tersebut sebelum ini tidak dapat dikesan selepas dimaklumkan berjaya membawa diri ke Thailand.

Kemudian, dia ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 Sept lalu kerana miliki passport tidak sah.

Namun, Sajat kembali aktif di media sosial susulan memuat naik beberapa Instastory menerusi entri Instagram miliknya.

Sumber – FMT