Akhirnya Syahir AF memilih anak dara sebagai teman hidup

Akhirnya Syahir AF memilih anak dara sebagai teman hidup

Bakal bergelar tunangan orang esok, Shahir Zawawi mengakui debaran semakin berganda menanti detik ‘terbang’ ke kampung halaman wanita yang menjadi pilihan hatinya di Tawau, Sabah, petang ini.

Katanya, sepatutnya majlis pertunangan mereka diadakan di Kuala Lumpur, tetapi diubah ke kediaman keluarga pihak perempuan untuk membolehkannya membawa ibu bapa makan angin.

“Alhamdulillah, segala urusan untuk majlis ini berjalan lancar hasil bantuan keluarga serta kawan terdekat yang turut sama membuat persiapan akhir.

“Ikut perancangan awal memang mahu langsungkan majlis pertunangan di sini (Kuala Lumpur), namun selepas berbincang kami putuskan untuk adakan di rumah keluarganya.

“Bukan saja dapat mengenali saudara maranya yang memang ramai di situ, saya juga ambil kesempatan untuk bawa emak abah jalan-jalan di Tawau. Ikutkan empat hari kami ada di sana.

“Dari Kuala Lumpur rombongan kami hanya berenam membabitkan saudara terdekat dengan membawa bersama lima dulang hantaran,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada akhir Jun, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu membuat kejutan mengumumkan akan bertunang dengan ahli perniagaan dekorasi dalaman dan pakaian yang berusia 30 tahun.

Walaupun hanya sebulan lebih mengenali hati budi, juara Akademi Fantasia 8 (AF8) itu nekad membawa hubungan tersebut ke fasa perkahwinan yang difahamkan berlangsung sekitar September depan.

Biarpun masih belum terbuka untuk mendedahkan wajah si dia, carian Kosmo! Online dapat menjejak akaun Instagram wanita yang membahasakan dirinya sebagai Ekin.

“Bukan saya sorokkan dia, kalau ada yang terjumpa kami di mana-mana lokasi ketika uruskan persiapan hari kenduri saya tak akan mengelak.

“Cuma untuk kongsi gambar dia di media sosial bukan sekarang. Saya belum dapat ‘lesen’ sebab kami tiada ada apa-apa ikatan lagi. Tunggu lepas tunang.

“Lagipun dia jenis ‘low profile’. Dia belum biasa dengan senario kerjaya saya, biar dia kenal situasi ini secara perlahan-lahan,” katanya.

Mengulas lagi mengenai perincian hari bahagia, katanya selepas bertunang, dua majlis resepsi bakal menyusul beberapa bulan selepas itu iaitu di Kuala Lumpur disusuli Tawau, dua minggu kemudian.

Istimewanya dedah Shahir, dia akan mendendangkan sebuah lagu khas pada hari persandingan, yang juga kemuncak bagi acara berkenaan.

“Dia pun belum tahu mengenai lagu ini, tapi tak mengapa saya dedahkan lebih awal berkenaan kejutan istimewa ini.

“Lirik dendangan ini hanya akan saya perdengarkan kepadanya selepas kami sah jadi suami isteri,” katanya lagi yang belum sedia mendedahkan tarikh pernikahan mereka.