Akibat campur tangan politik, ‘Food Bank Kayangan’ diarah tutup oleh pihak berkuasa

Akibat campur tangan politik, ‘Food Bank Kayangan’ diarah tutup oleh pihak berkuasa

Suatu inisiatif bank makanan yang dibuka di Kuantan, Pahang, diarah agar ditutup oleh pihak berkuasa semalam dan mengundang kritikan daripada penganjurnya.

Sejak digerakkan kira-kira sebulan lalu, inisiatif tersebut sudah mengagihkan bantuan kepada lebih 1,000 keluarga di sekitar Kuantan.

Ketika dihubungi, seorang daripada penganjur bank makanan tersebut mendakwa wujud campur tangan politik di sebalik arahan penutupan tersebut.

Dia yang enggan didedahkan identitinya memberitahu Malaysiakini, inisiatif berkenaan dimulakan oleh sekumpulan sahabat di Taman Tok Sira yang mengeluarkan wang dari poket masing-masing untuk membantu golongan yang memerlukan.

Apa yang bermula sebagai gerakan sederhana di belakang kedai kemudian berkembang cepat selepas ia menjadi tular di media sosial, sekali gus menarik semakin ramai orang untuk menyumbang.

Antara mereka ialah orang kenamaan selain orang Masjid Tok Sira serta jawatankuasa rukun tetangga setempat.

“Dengan adanya sokongan yang kuat, inisiatif kami diketahui ramai orang dengan segera dan digelar Foofbank Kayangan kerana barangan yang kami edarkan berkualiti tinggi dan berjenama.

“Dalam tempoh tiga minggu kami mengedarkan bungkusan bantuan berisi keperluan asas bernilai kira-kira RM60 untuk 500 keluarga setiap minggu,” kata sukarelawan itu.

Diberi nombor giliran

Disebabkan sambutan yang sangat tinggi, bank makanan itu terpaksa mendapatkan bantuan anggota Rela untuk mengawal keadaan dan memastikan semua orang yang datang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Kata sukarelawan itu bungkusan bantuan itu diagihkan di kawasan terbuka di depan sebuah restoran dan penerima dipecahkan kepada beberapa bahagian termasuk di dua kawasan menunggu yang berasingan.

Untuk penerima baru mereka diminta meninggalkan butiran peribadi masing-masing dan ditemu bual.

“Hanya 30 orang dibenarkan berbaris di setiap kawasan menunggu sebelum mereka menerima bantuan masing-masing.

“Semasa ditemu bual, hanya 10 orang dibenarkan berbaris. Kalau lebih, mereka diberikan nombor giliran dan perlu menunggu di kenderaan sendiri,” katanya.

Bagaimanpun masalah timbul beberapa hari lalu apabila ada individu di kawasan perumahan berkenaan – didakwa menganggotai sebuah parti politik – dikatakan marah dengan inisiatif tersebut.

Menurut anggota penganjur, dia percaya individu terbabit – bergelar Datuk – tidak berpuas hati selepas beberapa Datuk lain mula berkongsi sumbangan mereka kepada bank makanan tersebut dalam kumpulan WhatsApp.

Tindakan itu dikatakan menjadi punca timbul perselisihan faham sesama mereka.

Keesokan harinya sukarelawan terbabit mendakwa seorang pegawai berpangkat tinggi di Kuantan datang melawat bank makanan berkenaan dan berbincang dengan penganjur.

Orang terlalu ramai  

Akhirnya pegawai polis berkenaan menasihatkan penganjur agar menutup operasi mereka.

“Daripada perbincanan itu kami difahamkan polis menerima aduan daripada seseorang yang tidak setuju kami membuka bank makanan ini. Dan hari ini (semalam) kami dimaklumkan pihak berkuasa membuat keputusan untuk menutup bank makanan ini,” katanya.

Malaysiakini turut menghubungi Jawatankuasa Masjid Tok Sira yang menjadi sebahagian daripada pengajur inisiatif tersebut.

Setiausahanya Mohammad Sohaimi Ab Hamid mengesahkan mereka diarah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan jawatankuasa pengurusan bencana negeri untuk menangguhkan operasi bank makanan tersebut atas alasan ia menarik kedatangan orang terlalu ramai.

“Sekarang ni kes Covid di Kuantan pun tinggi, jadi disebabkan itu MKN dan jawatankuasa bencana negeri menasihatkan kami supaya tangguh dulu.

“Memang dia bagi nasihat, tapi itu maknanya diarahkanlah,” katanya.

Sohaimi menambah kelmarin ketua polis daerah (OCPD) Kuantan datang membuat tinjauan dan mereka menjelaskan apa yang dilakukan termasuk langkah menjaga SOP.

Pegawai polis terbabit, katanya, kemudian memberitahu dia akan membawa penjelasan berkenaan ke mesyuarat MKN dan selepas itu mereka membuat keputusan agar inisiatif tersebut ditangguhkan.

“Kami akur sajalah,” katanya.

Perbincangan berjalan dengan baik

Ditanya dakwaan arahan itu ada kaitan dengan campur tangan orang politik, Sohaimi berkata, memang ada beberapa individu yang “menasihatkan” mereka agar menutup operasi atas alasan ramai orang yang datang.

Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut atau membuat spekulasi mengenai arahan pihak berkuasa itu.

“Saya tak mahu menuduh sesiapa. Kami akur sajalah keputusan pihak berkuasa.

“Nanti apabila kes Covid-19 dan turun, kami akan buka semula… barang-barang banyak lagi,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi mengesahkan limpahan orang yang mahu mendapatkan bantuan menjadi sebab utama arahan berkenaan dikeluarkan.

“Berdasarkan maklumat berkaitan bank makanan yang dijalankan, pihak pengurusan Masjid Tok Sira mengatakan agak sukar untuk mereka mengawal keadaan orang ramai yang datang dari seluruh Kuantan, malah ada yang dari Pekan untuk memberi dan menerima bantuan,” katanya.

Sumber – Malaysiakini