Akibat cuba berlagak pandai, nasihat Wan Fayhsal dibalas kecaman netizen
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal sekali lagi mengundang marah netizen apabila cuba menjadikan kematian legenda bola sepak negara, Shebby Singh, kerana tidak memakai alat penyukat denyutan jantung sebagai amalan yang tidak betul ketika bersenam.
Shebby atau nama penuhnya Serbegeth Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, pada 12 Jan akibat serangan jantung.
“Kematian mendiang Shebby Singh adalah sesuatu yang menyedihkan. Buat golongan veteran yang kini ramai mengayuh basikal, panjat Genting Sempah, Peres, Fraser dan Mayor – pakailah penyukat denyutan jantung di dada (chest strap – tidak kelihatan pada jasad Shebby ketika beliau jatuh) dan pantau menggunakan komputer basikal anda itu.” tulisnya yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara di Instagramnya.
Pengguna Twitter, @nizambakeri, menyelar tindakan Ketua Pemuda Bersatu itu yang disifatkannya sebagai “kedunguan”.
Kesan daripada maklum balas diberikan @nizambakeri, Wan Fayhsal memohon maaf dan memadamkan bahagian dianggap sensitif itu.
Kata Wan Fayhsal dalam ciapan balas di Twitternya,”Tiada sedikit pun perasaan tidak hormat kepada legenda negara kita.”
“Saya ingin sampaikan tentang kesedaran kesihatan warga emas kerana ini juga merupakan satu isu kritikal yang meluas juga. Namun ia kurang mendapat perhatian.
“Walaubagaimanapun saya sudah ubah ‘caption’. Terima kasih,” kata bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu seperti dilaporkan portal FMT.
Bagaimanapun, @nizambakeri dalam ciapan balasnya berkata,”Oh, dah ‘delete the insensitive part’ (padam bahagian sensitif). But still, damage is done’ (Namun, kerosakan sudah berlaku). Internet is forever. Everything is just a screenshot away (Internet selamanya. Semua hanya dengan tangkap layar sahaja).
Perenggan sensitif itu ditangkap layar @nizambakeri daripada Instagram Wan Fayhsal, lalu dimuat naik ke akaun Twitternya.
Twitter Wan Fayhsal juga sebelum itu mengundang kritikan sama daripada pengguna, @IzzatiTaufek.
“Could have chosen a better time (Boleh pilih masa lebih sesuai) kot ye pun nak bagi “awareness” (kesedaran). Mendiang tak sampai seminggu pergi.”
Pengguna, @RmdhnJava, berkata, “Nak ckp dia pakai penyukat jantung dan ECG ke?”