Akibat curi beg sandang wanita sarat hamil, lelaki dijel 8 bulan, denda RM1,500

Akibat curi beg sandang wanita sarat hamil, lelaki dijel 8 bulan, denda RM1,500

 

Seorang pekerja sebuah syarikat penapis air yang mencuri beg sandang seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan dihukum penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Farah Rosnan juga memerintahkan Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 22, didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan, jika gagal berbuat demikian.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan melarikan beg sandang mangsa yang berusia 37 tahun di sebuah tandas pasar raya di Seksyen 23 di sini, Isnin lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan mangsa, seorang operator kilang, yang sebelum ini dirawat di hospital telah dibenarkan pulang dengan keadaan ibu dan anak dalam kandungan adalah stabil.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang sarat mengandung itu nekad mengerah kudrat berlari sejauh 50 meter mengejar pencuri yang mengambil beg sandangnya yang disangkut pada pintu tandas sebelum suspek dapat ditahan orang awam yang mendengar jeritan mangsa.