Akibat kemarukkan isteri rakannya, seorang buruh dibunuh kejam dengan tombak sawit
Gara-gara sering mengganggu dan mengajak isteri rakannya bersetubuh, seorang lelaki warga Indonesia ditikam hingga mati sebelum mayatnya dicampak ke longkang di kawasan ladang sawit di Kampung Siang Siang Laut, Lawas.
Mangsa yang dikenali sebagai Imran itu ditemui orang awam pada pukul 9.30 pagi Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman, kejadian itu dipercayai berlaku pada Isnin (26 April) apabila suspek yang berusia 32 tahun bersemuka dengan mangsa ekoran perbuatannya yang tidak disenangi tersebut.
“Susulan itu, pergaduhan kemudian tercetus hingga suspek bertindak menikam mangsa menggunakan tombak sawit hingga mati.
“Suspek kemudian membalut mayat mangsa sebelum membuangnya ke longkang sebelum ditemui orang awam pada pagi Rabu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kata Roslan, pemeriksaan fizikal pada mayat mangsa turut mendapati kesan tetakan di dahi, telinga, leher, belakang badan dan lutut kiri manakala pergelangan tangan putus.
Malah, siasatan turut mendapati suspek dan mangsa merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Suspek tiba di Malaysia kira-kira enam bulan lalu melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas membawa bersama isteri dan dua anaknya yang berusia 2 dan 6 tahun.
Suspek bekerja beberapa bulan sebelum diberhentikan daripada Ladang Sawit Tradewind, Jalan Trusan.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – AA