Akibat tiada capaian internet di rumah, 2 beradik tempah bahaya ikuti kelas PdPR dalam kebun getah

Akibat tiada capaian internet di rumah, 2 beradik tempah bahaya ikuti kelas PdPR dalam kebun getah

Masalah tiada capaian internet di rumah menyebabkan dua beradik di Kampung Malan, Dangi di sini terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di dalam kebun getah.

Seawal jam 7 pagi, Mimi Izmaliza Malik, 14, dan adiknya Mohamad Izman, 12, akan mendaki bukit lebih kurang sejauh 50 meter dari rumah mereka untuk menuju ke pondok kayu dibina bapanya di dalam kebun getah berkenaan sejak sebulan lalu.

Malik Ahmad, 53, berkata, dia membina pondok belajar buat anaknya di kebun getah kerana hanya di situ dapat mengakses rangkaian internet.

“Sebelum ini anak saya menumpang belajar di Balai Raya Kampung Malan.

“Tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berterusan dan saya bimbang keselamatan mereka yang jauh dari rumah, saya nekad buat pondok dalam kebun getah ini.

“Lagipun keadaan pandemik Covid-19 ini yang tak menentu dan tak tahu bila sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa, saya fikir sebagai bapa kena buat sesuatu bagi memudahkan anak-anak belajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun Malik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengakui yang perasaan bimbang soal keselamatan anak-anaknya itu tetap ada kerana mereka perlu mendaki kira-kira lima minit.

Katanya, dia bersyukur kerana setakat ini tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini dan dia bersama isteri sesekali akan menemani anak mereka belajar.

Sumber : Sinar Harian