Aktiviti khurafat di kaki Gunung Jerai, warganet hairan ajaran sesat makin banyak selepas Pas jadi menteri agama

Aktiviti khurafat di kaki Gunung Jerai, warganet hairan ajaran sesat makin banyak selepas Pas jadi menteri agama

Semua aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan Gunung Jerai perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh mengundang bala.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perbuatan seperti itu juga boleh juga boleh merosakkan akidah umat Islam.

“Kita harapkan benda ini terhenti kerana aktiviti sedemikian akan mengundang bala daripada Allah bukan sahaja kepada pelaku tetapi juga kepada penduduk di kawasan itu.

“Sebab itu ada sahabat tanya kepada Nabi Muhammad SAW, adakah kami orang baik akan kena juga kalau datang bala dan Nabi Muhammad kata ya termasuk juga kamu.

“Cuma esok bila kamu dibangkitkan, mereka akan dibangkitkan berdasarkan kepada niat mereka iaitu maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka akan terima hukuman,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan fenomena kepala air di Pusat Rekreasi Titi Hayun,di sini, hari ini.

Ketika ditanya berhubung tindakan penguatkuasaan bagi mengelak gunung tertinggi di negeri ini terus menjadi tumpuan sebilangan individu melakukan aktiviti khurafat, Idris berkata, pihaknya percaya jabatan agama negeri sudah dan akan terus bertindak dalam menangani perbuatan terbabit.

Selain itu, pihaknya turut yakin ramai kalangan alim ulama di negeri ini akan membantu memainkan peranan untuk mengekang perbuatan khurafat di gunung berkenaan.

Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai berharap segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan Gunung Jerai dapat dihenti dan dibersihkan.

Malah, sebilangan penduduk dilaporkan beranggapan bencana yang melanda daerah Yan dan Kuala Muda itu merupakan ‘amaran’ kepada mereka yang terbabit supaya menghentikan perbuatan berkenaan.

Aktiviti seperti bertapa dan memuja nombor ekor selain mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

Dalam kejadian fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu, seramai enam mangsa terkorban dihanyutkan arus deras.

Banjir lumpur itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.