Aktor Shaolin Soccer meninggal dunia

Aktor Shaolin Soccer meninggal dunia

Pelakon veteran Hong Kong, Ng Man-tat dilaporkan telah meninggal dunia hari ini pada usia 68 tahun dipercayai akibat komplikasi kanser.

Rakan terdekatnya, produser Tin Kai Man menyatakan bahawa Ng Man Tat didiagnosis dengan kanser hati pada akhir tahun lalu. Beliau banyak menerima rawatan di Macau. Akibat penyakitnya semakin kronik, maka Ng balik semula ke Hong Kong untuk mendapatkan rawatan susulan.

Menurut Tin lagi, berita Ng Man Tat dimasukkan ke hospital pada 20 Februari 2021 kerana serangan jantung adalah tidak tepat. Gambar yang berterbaran di media sosial itu adalah gambar dia ketika sesi penggambaran “Shaolin Temple: Legend of Debao”.

Tin menyatakan bahawa, Ng Man Tat sebaliknya sudah didiagnosis dengan kanser lebih awal, cuma beliau tak mahu menghebahkannya kepada umum.

Ng kemudian merasa sakit lalu dia diarahkan ke Macau untuk ujian lanjut. Semasa ujian dijalankan, doktor mendapati ada ketumbuhan padanya.

“Dua bulan lalu, dia kembali ke Hong Kong untuk pembedahan dan kimoterapi. Sejak hari itu, dia banyak berada di hospital terutama sekali beberapa kali dia mengalami serangan sakit yang kritikal.”

Usaha perubatan tidak berjaya, Tat dilapor meninggal dunia setelah beberapa organ dalamannya gagal berfungsi.