“Aku sayangkan dia, terlalu sayangkan dia, aku takut hilang dia, aku takut dia pergi kepada orang lain sebab tu aku ‘kunci’ dia, biar dia nampak aku jer, biar dia sayangkan aku jer, biar dia gilakan aku jer”
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Ada yang menunggu cerita dari saya tak..? Hari ni saya nak cerita satu kisah seram yang mungkin akan menganggu emosi para pembaca.
Pertama saya ingin nyatakan bahawa kisah ini telah lama berlaku. Lebih kurang dalam 20 tahun yang lalu ketika saya masih di bangku sekolah. Ketika saya masih anak anak hingusan yang tidak kenal erti syirik, khurafat dan kufur.
Saya cerita disini bukan untuk menunjuk hebat atau sebagainya. Sekadar untuk renungan kita bersama.
Kisah ini juga merupakan salah satu daripada pengalaman saya mengikut Izham dan Hisyam mengubat orang.
Kisah ini bermula apabila ada salah seorang daripada penduduk kampung meninggal dunia ketika melahirkan anaknya yang pertama.
Alhamdulillah anaknya dapat diselamatkan manakala si ibu meninggal dunia. Selepas itu kampung tersebut mula dihantui oleh makhluk yang dipanggil pontianak.
Makhluk itu tidak pernah menyakiti penduduk kampung. Ia hanya menakut nakutkan penduduk kampung dengan kelibat nya sahaja. Biasanya mereka yang pulang kerja pada lewat malam lah yang selalu terserempak dengan makhluk itu.
Makhluk Allah yang saya namakan Mona itu sering kelihatan merayau rayau seperti mencari sesuatu. Kadangkala kelihatan seperti dia berjalan. Kadangkala hanya melintas didepan mata dengan sekilas pandang.
Mona sentiasa kelihatan bertenggek pada tiang tiang elektrik, duduk di perhentian bas, kadang kala diatas bumbung rumah ataupun di pokok pokok yang besar dan rendang sambil menangis.
Suara tangisannya seperti suara kucing yang ingin mencari pasangan. Kadang kala terdengar makhluk itu mengerang kesakitan seperti wanita sedang meneran untuk melahirkan anak.
“Abang buka pintu bang. Hantu Mona ada kat atas bumbung rumah kitaaa…”
Cerita salah seorang penduduk kampung tentang pengalaman isterinya yang pernah terserempak dengan makhluk tersebut ketika pulang daripada kerja shift petang.
Menurut orang kampung, hampir sebulan kampung tersebut lengang apabila malam menjelma.
Tiada lagi bunyi riuh rendah motorsikal anak anak muda yang berkeliaran. Tiada Lagi bunyi hiruk pikuk ‘artis jalanan’ yang berteriak sambil memetik gitar kapok. Hanya tinggal bunyi kenderaan mereka yang ulang alik daripada menunaikan tanggung jawab mencari rezeki.
“Mona pernah tumpang motor saya… Busuk bau bangkai..!”
“Bertenggek pulak dia dekat bumbung kereta saya…. Balik tu demam terus dibuatnya…”
“Anak saya nangis jer malam tadi. Atap di cakar cakar nya Mona… Entah apa lah mahunya…”
Begitulah riuhnya mereka bercerita pengalaman mereka.
“Buruk mukanya. Berulat…”
“Panjang taringnya… Entah apa lah dia nak tokak..”
“Kelmarin dulu, ada pergi jenguk kubur dia… Berlubang… Tanah mendap… Dah di tambak oleh Jali pun sama juga… Apa lah dosa dia dulu dulu…”
Panjang lebar mereka bercerita sesama sendiri tidak perduli lagi perasaan keluarga Mona yang turut sama hadir pada malam itu.
“Kedai kedai makan dan juga runcit terpaksa tutup awal bimbang terserempak dengan makhluk itu…”
Sambungnya lagi.
Malam itu, ketika Izham dan Hisyam sedang menyiapkan alatan perubatan ada selembar kain putih melintas di hadapan mata saya. Saya menghampiri Izham dan duduk disampingnya. Izham yang faham dengan saya hanya berbisik…
“Banyakkan selawat, berzikir dan bertahmid dik. Lawan jangan lemah..”
Tiba tiba mata saya terpandang makhluk tersebut duduk di pohon besar didepan rumah. Saya merenung wajahnya.
Tidak kelihatan seperti yang mereka gembar gemborkan tadi. Tiada taring yang panjang, tiada ulat yang berkerumun di bahagian muka dan tiada rambut yang panjang tidak terurus.
Hanya sebujur wajah yang penuh dengan penderitaan. Rambutnya yang memang sedia panjang itu rapi ditiup angin.
Kafannya juga kelihatan sudah terbuka. Hanya tinggal sarung yang tidak berjahit. Mungkin kerana wajahnya yang tenang itu membuatkan tiada perasaan takut pada saya.
Jika pembaca ingin tahu, ia bukanlah jubah panjang dan kembang seperti yang kalian lihat di televisyen. Ia merupakan kain kafan untuk jenazah perempuan yang telah dibuka ikatan talinya.
Sebelum sesi perubatan bermula, Hisyam meminta keluarga Mona menceritakan serba sedikit tentang Mona.
Menurut mereka… Semasa hidup Mona merupakan seorang perempuan yang ada rupa dan pandai. Mona juga seorang yang baik hati dan peramah.
“Mona ini langsung tidak kedekut dengan senyuman.. Senyum jer.. Buat lah apa pun kat dia tetap dia senyum…”
Kata ibu Mona manakala beberapa orang kampung yang ada menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata kata si ibu.
“Asalnya kami tidak izinkan Mona nikah dengan Budin. Kerjanya tidak menentu. Rajin dia, turun lah ke laut. Datang malas dia duduk jer lah kat warung main dam haji sampai ke malam. Tapi bersungguh benar dia berkehendakkan Mona.
Jadi sebelum dipujuk pujuk kemudian di bawa lari putih mata kami sebagai mak bapak, kami pun nikahkan jugak lah mereka berdua..”
Ada sedikit nada penyesalan di hujung cerita si bapa.
Selepas beberapa bulan bernikah, kecantikan Mona sedikit demi sedikit tenggelam. Wajah putih mulus Mona bertukar menjadi pucat dan kusam. Kesan lebam lebam mula kelihatan di tubuh badan Mona.
Pada awalnya keluarga Mona menuduh Budin telah memukul dan mengasari Mona.
“Tetapi bila dibawa ke hospital, pihak hospital menafikannya kerana kesan itu bukan seperti dipukul lebih kepada seperti digigit oleh binatang berbisa seperti lipan.”
Jelas bapa Mona.
Perkara ini berterusan hingga lah Mona mengandung. Melihat Mona yang sudah tidak cantik dan berseri lagi, Budin curang. Budin mula meminati seorang pelayan kedai makan berbangsa Siam.
“Hari hari makcik nampak Mona nangis macam orang giila bila tahu Budin gilakan pekerja Siam tu…”
Jelas ibu Mona sambil menangis.
“Encik Hisyam buat lah macam mana pun asalkan roh anak kami tenang…”
Sampuk bapanya pula.
“Kami tahu ni semua kerja budak Siam tu. Ada lah dia buat benda tak baik pada aruwah sampai jadi macam tu…”
Tambah ibu Mona lagi.
“In Sha Allah kami ikhtiar selebihnya Allah punya kuasa…”
Hisyam mulakan sesi perubatan. Kali ini mereka tidak menggunakan saya sebagai pengantaraan… Maka jelas di mata saya setiap apa yang berlaku.
Tiba tiba Budin datang dan menjerit seperti orang giila meminta Hisyam berhenti daripada meneruskan bacaan mentera kemudian Budin terus melarikan diri lalu hilang dalam kegelapan malam.
“Mari kita pergi rumah Budin..”
Hisyam segera mencapai keris pusaka peninggalan aruwah datuknya. Kami dan beberapa orang kampung dibawa oleh bapa Mona ke rumah sewa Budin. Budin tiada di situ.
“Pecahkan…!!”
Kata Hisyam tegas. Ketika pintu rumah dibuka… Bau busuk mula menusuk hidung. Kami terus menuju ke bilik Budin.
Betapa terkejutnya kami apabila melihat sekeping gambar Mona di letaknya dalam botol cuka direndam bersama minyak yang berbau busuk seperti bangkai.
Apa yang lebih mengejutkan ada selembar kain kafan membaluti batang pisang yang sudah reput seperti seorang perempuan sedang berkemban dan di sisinya penuh dengan kesan air m4ni yang telah kering malah ada yang masih basah.
Tapi pada mata saya yang terbaring itu bukanlah batang pisang. Tetapi Mona dengan mata yang sayu memandang saya.
Malam itu juga beberapa orang kampung termasuk bapa Mona mencari Budin. Setelah Budin ditemui, Budin dibawa kepada kami.
Setelah dipaksa oleh Hisyam barulah Budin membuka mulut menceritakan segalanya kepada kami, keluarga Mona dan orang kampung sebagai saksi.
“Aku sayang kan dia. Terlalu sayangkan dia. Aku takut hilang dia. Aku takut dia pergi kepada orang lain sebab tu aku ‘kunci’ dia. Biar dia nampak aku jer. Biar dia sayangkan aku jer. Biar dia gilakan aku jer.
Tapi aku bukan nak suruh dia jadi bdoh, jadi tuli, jadi biol macam tu. Aku cuba nak buang ‘kunci’ tu tapi bomoh tu nak aku bayar lebih. Aku tak ada duit. Aku tak mampu.”
“Tiap tiap malam aku nampak benda tu datang makan drah Mona. Aku tak sanggup tengok sebab tu aku tak duduk rumah. Aku lepak kedai Siam. Mana aku tahu boleh jatuh hati pada budak Siam tu pulak.
Mana aku tahu dalam biol biol Mona boleh pulak dia tahu aku curang. Aku tak sengaja. Monaaaa maaf kan abang sayang. Abang sayang Mona. Abang nak Mona balik macam dulu dulu. Kita mulakan hidup baru ye sayang…”
Jerit Budin sambil menangis.
Tiba tiba sepantas kilat bapa dan abang sulong Mona bangun memukul Budin sekuat hati. Nasib baik dihalang oleh beberapa orang kampung, jika tidak mesti Budin mati dibelasah pada malam itu.
Rupa rupanya selepas Mona dikebumikan, malam itu Budin telah mencuri selembar kain kafan Mona untuk dipuja. Oleh sebab itulah kubur Mona berlubang seperti di gali.
Mungkin menyesal kerana mengkhianati cinta Mona, Budin bertindak demikian. Budin ingin Mona hidup bersamanya seperti dulu. Budin terlalu sayangkan Mona.
Sebenarnya makhluk yang mereka lihat berkeliaran itu bukan lah Mona yang keluar daripada tempat persemadian tetapi ia adalah jin yang telah dipuja dan menyerupai apa yang dipuja.
Pelbagai rupa dan bentuk yang mereka lihat adalah apa yang mereka fikirkan. Jika mereka fikir buruk maka akan buruklah jika mereka fikir elok maka elok lah apa yang mereka lihat.
Kepada yang mengikuti penulisan saya sudah pasti akan tahu bahawa jin tidak mempunyai rupa. Mereka akan merupa mengikut apa yang mereka mahu begitu juga dengan yang telah dipuja. Mereka akan merupa mengikut sesuatu yang dipuja ataupun si pemuja itu sendiri.
Jadi sentiasa berhati hatilah dengan pandangan mata kita. Jangan tertipu dengan tipu helah iblis, syaiitan dan jin.
Tiada kehidupan selepas mati dan tiada yang mati akan merangkak keluar daripada kuburan kecuali ianya adalah permainan iblis, syaitan dan jin untuk menyesatkan manusia.
Kembali kepada kisah Budin. Selepas bapanya membakar semua barang barang pemujaan itu dan meminta beberapa orang ustaz ‘membersihkan’ kawasan rumah, kisah hantu Mona tidak lagi meniti di bibir penduduk.
Budin pula, selepas segalanya terbongkar dia seperti orang hilang akal. Bercakap sendirian seolah olah Mona berada di sisinya.
Saya cuba untuk menembusi hijab melihat keadaan Budin. Tetapi saya tidak mampu. Tiada sesiapa pun di samping Budin. Budin hanya bermain dengan perasaannya sahaja. Saya harap Budin akan insaf dan sempat bertaubat sebelum ajal menjemput.
Kepada para pembaca… Tidak kiralah bagaimana sayang dan cintanya kita kepada seseorang jangan sesekali menggunakan sihir sebagai cara untuk mendapatkannya…
Hati manusia Allah SWT yang pegang. Berdoa dan mintalah daripada-Nya, in Sha Allah jika sudah tertulis jodoh kita sampai ke syurga pasti akan berkekalan hingga ke hujung usia.
Sekian cerita daripada saya… In Sha Allah kelapangan nanti saya akan menulis lagi… Terima kasih kerana sudi membaca. Apa yang baik kita jadikan teladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.