Alangkah eloknya kalau GST masih ada, kata Ahmad Maslan

Alangkah eloknya kalau GST masih ada, kata Ahmad Maslan

Di kala negara berdepan kemelut ekonomi gara-gara wabak Covid-19, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan terkenang akan cukai barangan dan perkhimatan (GST) yang telah dimansuhkan.

“Alangkah eloknya kalau GST masih ada,” kata bekas timbalan menteri kewangan dalam wawancara bersama Malaysia Gazette malam tadi.

Kata Ahmad, dia ditugaskan pada tahun 2015 untuk memberi penerangan kepada rakyat berkenaan cukai itu, namun akhirnya menjadi mangsa serangan bertubi-tubi oleh banyak pihak.

“Saya menjadi perisai kepada kerajaan dan saya ditembak bertubi-tubi sehingga hancur menjadi debu-debu berterbangan,” katanya.

Kata Ahmad, dengan unjuran kekurangan pendapatan kerajaan tahun ini, dia membayangkan perkara itu dapat ditampung sekiranya GST masih dilaksanakan.

Lebih-lebih lagi, katanya, bagi tahun 2021, kerajaan harus berhutang sebanyak RM85.47 bilion bagi menampung Belanjawan 2021.

“Ada satu hikayat, ketika Hang Jebat mengamuk, sultan (Melaka) bertitah kepada bendahara, ‘alangkah eloknya kalau Hang Tuah masih hidup’.

“Ketika zaman susah ini, alangkah eloknya kalau GST masih ada. Haa … itu dia,” katanya memberi perumpamaan.

Pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015 mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya pembangkang yang menyifatkan cukai itu sebagai menindas serta menjadi punca peningkatan harga barang.

Ahmad yang merupakan timbalan menteri kewangan merangkap ketua penerangan Umno ketika itu menjadi antara individu paling teruk menerima kecaman.

Pada 2017, GST menyumbang sejumlah RM44.4 bilion atau 20.1 peratus daripada hasil pendapatan kerajaan.

Setelah mengambil alih kerajaan pada 2018, PH menghapuskan GST dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

SST berkuatkuasa sejak 1 Sept 2018 pada kadar 6 peratus cukai perkhidmatan dan antara 5 ke 10 peratus cukai jualan.

Ahmad turut mengimbau satu lagi hal yang menyebabkannya menerima serangan iaitu saranan yang dibuatnya pada 2015 agar rakyat melakukan dua kerja bagi menangani kos sara hidup yang tinggi.

Pada ketika itu, dia mencadangan agar rakyat menceburkan diri dalam perniagaan dalam talian di waktu senggang selepas waktu pejabat atau di hujung minggu.

“Itu saja cadangannya, tapi saya dibantai begitu hebat”.

‘Cadangan mendahului zaman’

Menyifatkan saranannya itu sebagai “mendahului zaman”,  Ahmad berkata orang ramai kini mula sedar akan kebaikan saranannya itu ketika Covid-19 melanda.

“Namun apabila Covid-19 ini berlaku, beberapa tahun selepas cadangan itu, baru orang kata, ‘Wah, betul apa Ahmad Maslan cakap’.

“Sekarang e-dagang adalah perkara utama, perniagaan dalam talian ini adalah perniagaan masa depan yang cukup baik ketika zaman susah Covid-19 dan sebagainya, tapi orang benci saya kerana cadangan itu.

“Mungkin kerana saya sebut tadi, (cadangan saya) mendahului zaman,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini