Alasan hadkan ’80 Ahli Parlimen’ bakal hakis kepercayaan awam keberkesanan vaksin

Alasan hadkan ’80 Ahli Parlimen’ bakal hakis kepercayaan awam keberkesanan vaksin

Kumpulan masyarakat sivil menolak cadangan mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen menghadiri sidang Dewan Rakyat selama lima hari bermula 26 Julai ini memandangkan semua wakil rakyat sudah divaksin sepenuhnya sekarang berbanding ketika persidangan tahun lalu.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), ENGAGE dan Bait al-Amanah dalam kenyataan bersama berkata, alasan sidang Parlimen tahun lalu juga hanya membenarkan 80 Ahli Parlimen hadir tidak lagi relevan.

Mereka berkata, hampir semua kakitangan Parlimen, termasuk staf yang mengiringi Ahli Parlimen akan selesai divaksin menjelang persidangan hujung bulan ini dan pelaksanaan SOP ketat sepatutnya tidak menghalang semua wakil rakyat untuk menghadiri sidang Parlimen itu.

“Memandangkan hampir tujuh bulan Parlimen tidak bersidang, pelbagai isu dan permasalahan rakyat di seluruh kawasan Parlimen terlalu banyak tertangguh serta tidak dapat dibahas dengan tuntas oleh wakilnya di Parlimen.

“Inilah masanya Ahli Parlimen diberi ruang seluas-luasnya membawa segala resah rakyat, sekali gus bersama-sama menawarkan solusi terbaik untuknya.”

Mereka berkata, kerajaan sepatutnya mencontohi Parlimen negara lain yang bersidang secara aktif ketika pandemik dan bersedia meminda Peraturan Mesyuarat untuk mengadakan persidangan Parlimen secara hibrid.

“Dewan Rakyat dan Dewan Negara seharusnya meluluskan usul di permulaan persidangan pada 26 Julai dan 3 Ogos untuk Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing menyediakan pindaan peraturan yang perlu untuk persidangan hibrid/maya dengan libat urus semua parti dan kemudiannya dibentang dan diluluskan oleh kedua-dua dewan, sebelum persidangan ini ditangguhkan pada 2 Ogos dan 5 Ogos.”

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dilaporkan berkata, Parlimen hanya membenarkan 80 Ahli Parlimen menghadiri persidangan pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini. Ia terdiri daripada 44 Ahli Parlimen kerajaan dan 36 Ahli Parlimen pembangkang.

Sumber – FMT