Alif Satar harap netizen yang mengecamnya gara-gara berlakon filem kontroversi Pulau tonton dahulu sebelum kritik

Alif Satar harap netizen yang mengecamnya gara-gara berlakon filem kontroversi Pulau tonton dahulu sebelum kritik

 

Pelakon dan pengacara popular, Alif Satar meminta agar orang ramai yang mengecam penglibatannya dalam lakonan filem kontroversi Pulau, untuk menonton filem itu terlebih dahulu.

Alif mengakui banyak kritikan dilemparkan terhadapnya, namun dia percaya ramai pihak yang mengkritik pembabitannya kerana mereka belum pun menonton filem itu di pawagam tempatan.

“Saya ada baca komen dan kritikan dari netizen mengenai pembabitan saya dalam filem ini. Saya juga sudah bersedia menerimanya.

“Apapun, saya berharap mereka (netizen) menonton filem Pulau terlebih dulu dan mereka akan tahu pendirian saya serta menilai sendiri lakonan saya dalam filem itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengenai pembabitannya dalam filem Pulau, kata Alif, dia tertarik untuk menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana skripnya yang bagus.

“Saya terima tawaran berlakon filem Pulau kerana penerbit memberitahu ia adalah filem seram dan bukan filem konsep lucah.

“Pada masa sama, penerbit juga beritahu, filem ini turut menampilkan pelakon senior yang saya hormati iaitu Namron dan Wan Hanafi Su,” katanya.

Terdahulu, trailer filem Pulau mendapat kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak kerana didakwa ada beberapa babak yang mencolok mata dan tidak sesuai untuk ditayangkan di negara ini.

Selain daripada pemakaian yang agak seksi, ada juga beberapa babak pelakon lelaki yang tidak memakai baju dan pelakon wanita berbikini serta beberapa adegan yang dilihat agak panas untuk ditayangkan.