Amalkan minuman ini untuk kawal berat badan, nombor 5 tu paling ‘rare’

Amalkan minuman ini untuk kawal berat badan, nombor 5 tu paling ‘rare’

 

Obesiti menjadi salah satu masalah membimbangkan di kalangan penduduk Malaysia hari ini. Hasil kajian yang dijalankan oleh World Population Review pada 2020 mendapati Malaysia mempunyai jumlah obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Lebih 15.6 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah ini berbanding dengan Brunei (14.6 peratus), Thailand (10.0 peratus) dan Indonesia (6.9 peratus).

Gambar: Twitter NIH Malaysia

Dengan trend bekerja dari rumah berikutan pandemik COVID-19, tidak mustahil masalah kesihatan ini akan terus meningkat. Cuba anda perhatikan di media sosial, pasti ada di antara rakan-rakan yang mengeluh tentang kenaikan berat badan. Bukan sahaja di kalangan wanita, malah golongan lelaki juga mula berasa gusar.

Maklumlah pergerakan di rumah cukup terhad. Mana sahaja yang boleh anda pergi? Ulang-alik bilik tidur, ruang tamu, bilik air, dan dapur sajalah. Silap-silap ada yang terperuk di bilik sahaja kerana terikat dengan komitmen kerja-kerja di pejabat.

Apabila pihak kerajaan menghentikan Perintah Kawalan Pergerakan pada penghujung Mei dan baru-baru ini, ramai yang menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya aktiviti riadah lebih mudah untuk dilakukan. Namun, peningkatan kes COVID-19 sekali lagi mencecah angka membimbangkan, dan kini sekali lagi kita harus bekerja dari rumah.

Baiklah, kegusaran anda tidak akan ke mana-mana jika ia tidak disertai dengan tindakan. Usahalah sebaik mungkin untuk mengelakkan diri daripada menjadi obes. Ingat, obesiti bukan hanya mengundang penyakit, malah ia juga menurunkan rasa keyakinan diri seseorang!  Memang banyak produk pelangsingan badan yang boleh didapati di pasaran. Tetapi percayalah tidak semua mendatangkan hasil jika anda gagal mengawal pengambilan makanan.

Gambar: Bahagian Pemakanan KKM

Terdapat lima minuman yang boleh diamalkan bagi membantu anda mengawal berat badan. Jika anda turut mengamalkan diet seimbang dan berpada-pada mengambil gula dan karbohidrat, tidak mustahil berat badan boleh dikawal. Jom semak minuman berikut:

Air kosong

Air adalah sifar kalori dan ia boleh membuatkan perut berasa kenyang jika diminum dengan betul. Ia bukan sahaja membuang toksin dalam badan, malah ia sangat berkesan dalam membantu untuk menurunkan berat badan yang berlebihan. Boleh juga ditambah dengan hirisan buah lemon segar, limau nipis, timun, atau pun tomato kerana sayuran ini juga memberi banyak manfaat, selain menambah perisa.

Gambar: Unsplash

Kopi Hitam 

Secawan kopi hitam di awal pagi atau segelas kopi ais pada waktu tengah hari sebenarnya membantu untuk menurunkan berat badan. Ia berfungsi untuk merangsang kafein yang boleh mengawal nafsu makan. Malah ia juga mampu memanaskan tubuh badan dan meningkatkan metabolisme badan. Cuma, kurangkan gula dalam kopi atau gunakan susu skim.

Teh Hijau

Teh Hijau terbukti berkesan membantu melangsingkan tubuh. Ia juga membantu meningkatkan metabolisme. Cuba amalkan minum teh hijau sama ada sejuk atau panas. Teh hitam dan oolong juga membantu kerana kedua-duanya mengandungi anti-oksidan yang boleh menyingkirkan toksin dalam badan. Pastikan teh tidak ditambah gula ya.

Gambar: Unsplash

Jus Strawberi

Pengambilan strawberi meningkatkan penghasilan dua hormon penting iaitu adiponektin dan leptin yang membantu membakar lemak serta meningkatkan metabolisme tubuh badan. Untuk mendapatkan kesan terbaik, minumlah jus ini sekurang-kurangnya sekali sehari. Bukan sahaja menyegarkan, ia turut membantu detoksifikasi hati dan menentang penyakit kanser.

Jus Sayuran 

Tidak kisahlah jus yang siap di beli dalam tin, botol atau pun buatan sendiri, jus sayuran adalah salah satu cara yang berkesan untuk memberi serat dan nutrien kepada tubuh badan untuk membantu tubuh badan kita menurunkan berat badan. Jika dibeli, pastikan jus tidak mengandungi gula tambahan.  Pengambilan sayuran dan buah-buahan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama.

Gambar: Unsplash