Amanah Hartanah Bumiputera pula didakwa bermasalah
AHB Hadapi Masalah Mudah Tunai?
1. Cabaran terhadap tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi melalui penambahan guna tenaga dan penjanaan keuntungan, khususnya bagi faedah Bumiputera.
2. Kadar pulangan pelaburan agensi-agensi ini merosot dengan nyata sejak sedekad dua ini bukan sahaja kerana faktor-faktor ekonomi biasa tetapi juga akibat ketidakcekapan, penyelewengan dan rasuah.
3. Misalnya Tabung Haji, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Khazanah Nasional Berhad. Hatta Permodalan Nasional Berhad (PNB) pun sudah mula menunjukkan aliran yang membimbangkan. Pulangan skim-skim amanah saham tajaannya semakin merosot.
4. Itu belum diambil kira keterdedahannya (exposure) kepada beberapa pelaburan bermasalah seperti Sapura Energy Berhad dan hutang bagi membina pencakar langit Merdeka 118. PNB tidak boleh sekadar memberi alasan yang “exposure” kepada Sapura Energy kurang daripada 1% aset di bawah pengurusannya (AUM) kalau jumlahnya hampir RM3 bilion. Kalau termasuk hutang yang diberikan oleh Malayan Banking mungkin jauh lebih besar. Maybank adalah pelaburan tunjang PNB.
5. Yang terbaru dividen sementara Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022 sebanyak 2.5 sen seunit terdiri daripada 2.15 sen dividen dan 0.35 sen bonus. Pada kadar itu ia habis ditelan oleh Inflasi yang diramalkan oleh Bank Negara antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini.
6. Lebih kurang macam dialog filem Almarhum P Ramlee “masuk angin keluar asap”. Cuma dalam hal ini, pelabur yang semuanya Bumiputera melabur duit mereka dengan harapan memperoleh pulangan yang cukup untuk melindungi mereka daripada inflasi tetapi hampa.
7. Bukan itu saja , AHB yang tujuan tersiratnya adalah menambah aset hartanah Bumiputera, telah menukar kaedah pembayaran dividen daripada tunai kepada unit. Hanya pelabur kecil dengan 10,000 unit saham atau kurang dibayar tunai.
8. Ini bukanlah apa yang dijanjikan sebelum ini dan sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah AHB mengalami masalah aliran tunai? Tidak kurang penting adalah persoalan sama ada unit baru yang diwujudkan itu disokong oleh aset tambahan dan penjanaan pendapatan yang mencukupi.
9. Kesimpulannya, bukan rakyat jelata yang tidak mempunyai simpanan dan pelaburan sahaja yang menderita kesan kemerosatan ekonomi dan pengurusan negara yang kurang meyakinkan malah yang ada simpanan dan pelaburan pun turut merasa kesan buruknya.
10. Malaysia menderita nasib malang yang berganda apabila di saat-saat dunia mengalami kegawatan ekonomi akibat Covid-19, kita dibebankan pula oleh rampasan kuasa tebuk atap “Sheraton Move”. Sudah dua orang Perdana Menteri “payung terjun” dalam masa dua tahun. Macam mana dunia nak yakin? Tak hairanlah kalau nilai tukaran dan kuasa membeli mata wang ringgit koyak!
Wallahuaklam.
Sumber – FB A. Kadir Jasin