AMANAH Hulu Selangor sanggah kenyataan pemimpin sendiri, jangan pesong fakta!

Merujuk kepada ulasan Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari yang menyifatkan tuntutan satu kerusi Dewan Undangan Negeri untuk AMANAH di Hulu Selangor sebagai pendapat peribadi, kami ingin menasihatkan beliau untuk merujuk perkara tersebut kepada AMANAH Negeri Selangor dan Kawasan Hulu Selangor bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Apa yang kami suarakan adalah keputusan konsensus Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Hulu Selangor yang telah pun disampaikan beberapa kali kepada pimpinan negeri dan justifikasi yang kami berikan tidak bercanggah dengan formula pembahagian kerusi sama sekali.
Kami mendesak kepada keseimbangan penyertaan dalam PRN bagi satu-satu parlimen yang mana langkah ini menjadi survival kepada AMANAH Hulu Selangor untuk diberikan ruang sewajarnya berdasarkan rekod kami dalam memberi khidmat kepada rakyat sepanjang Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Merujuk kepada fakta, Parlimen Hulu Selangor mempunyai tiga kerusi DUN di mana Umno menang di Hulu Bernam pada PRU-14 dengan majoriti 20 undi, Batang Kali – Bersatu dan Kuala Kubu Baru diberikan kepada DAP. Kerusi parlimen Hulu Selangor pula ditandingi PKR. Bagi mengimbangi pebahagian kerusi secara praktikal, AMANAH wajar mendapat satu kerusi di Hulu Selangor sama ada Batang Kali bagi menggantikan Bersatu sebelum ini atau penukaran setara untuk Umno bertanding di Batang Kali dan AMANAH di Hulu Bernam.
Hal ini juga bertepatan dengan kefahaman semua pihak bahawa kerusi Batang Kali merupakan kerusi yang telah dimenangi PH (Bersatu) pada ketika PRU-14.
Dengan pembahagian seperti yang dicadangkan, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai kerusi di Hulu Selangor dan berperanan untuk memaksimumkan usaha memenangkan calon di DUN masing-masing.
Pembahagian yang dicadangkan ini juga akan memperlihatkan keharmonian dan kesepaduan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan di samping menunjukkan komitmen semua mencapai keputusan menang-menang.
Justeru tuntutan AMANAH Hulu Selangor sebagai parti anggota dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai asas dan sewajarnya pihak kepimpinan tertinggi tidak terpesong daripada fakta yang dikemukakan. Jadikan pengajaran budaya menyerahkan kerusi atas nama jiwa besar seperti di PRN Johor, Melaka dan PRU baru-baru ini tidak sekali lagi menikam parti sendiri sehingga akar umbi hilang kepercayaan kepada kepimpinan sedia ada.
ABDUL MUN’IM BIN ROSLIN
Ketua Pemuda
AMANAH Hulu Selangor