AMANAH minta selesaikan segera kemelut politik Perak

AMANAH minta selesaikan segera kemelut politik Perak

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menasihatkan parti-parti politik segera menyelesaikan kemelut politik agar khidmat kepada rakyat lebih diutamakan.

Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, segala pilihan dan formula terbaik yang ingin dicapai bagi membentuk kerajaan negeri perlu mengenepikan segala pertimbangan politik kepartian yang memberi kesan kepada pentadbiran negeri.

“Kebanyakan negeri dan di Persekutuan, pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2021 telah atau sedang berjalan tetapi di Perak, kita terpaksa menunggu kepimpinan baharu dibentuk sebelum belanjawan ini dapat dibentangkan.

“Dengan baki tinggal beberapa hari lagi sebelum kita masuk ke Tahun 2021, rakyat Perak masih belum tahu apa perancangan untuk negeri dan program kepada mereka lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar menghadapi kesan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya penjajaran baharu merupakan pilihan terbaik, parti terlibat harus berlapang dada.

“Keadaan politik menjadi tidak menentu di negeri ini selepas usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditolak pada Jumaat lalu dan menyaksikan beliau terpaksa meletakkan jawatan.

“Untuk memastikan pentadbiran negeri ini stabil dan boleh membawa manfaat kepada rakyat, parti-parti politik terlibat segera mengambil langkah tersebut demi memastikan kebajikan dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini dapat terus dilaksanakan,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113808/BERITA/Politik/Segera-selesaikan-politik-Perak