AMANAH sambut baik komitmen PKR perkukuh PH, tingkat kerjasama pembangkang

AMANAH sambut baik komitmen PKR perkukuh PH, tingkat kerjasama pembangkang

AMANAH mengalu-alukan komitmen PKR untuk memperkukuh Pakatan Harapan (PH) dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, usaha tersebut merupakan satu-satunya jalan ke arah menumpaskan budaya ‘politik khianat’ yang melanda negara sejak tindakan langkah Sheraton pada 24 Februari lalu.

“Seluruh rakyat Malaysia dapat melihat bahawa politik khianat ini telah menghasilkan sebuah kerajaan lemah yang bagaikan telur di hujung tanduk.

“Ia memberikan implikasi negatif terhadap suasana politik dan ekonomi negara. Kerajaan yang dihasilkan lebih mementingkan persoalan survivalnya lebih dari persoalan kebajikan dan kehidupan rakyat jelata,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah Sheraton merujuk kepada pengkhianatan kumpulan Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan kem Azmin Ali dari PKR apabila merampas kerajaan Persekutuan diterajui PH yang baharu 22 bulan mentadbir.

Kedua-dua blok pengkhianat itu berpakat dengan BN yang memiliki 42 kerusi, Pas (18) dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 kerusi serta beberapa Ahli Parlimen dari Sabah yang kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pembangkang pada masa ini terdiri daripada beberapa parti yang mempunyai asas perjuangan berbeza tetapi mempunyai komitmen untuk berdiri teguh berpegang pada mandat rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan kebersamaan pembangkang menolak ‘politik khianat’ terbukti dengan penolakan 108 Ahli Parlimen pembangkang terhadap Belajawan 2021 semasa bacaan ketiga pada 15 Disember lalu.

Jelasnya, AMANAH beranggapan jumlah 108 itu adalah asas yang kukuh untuk mewujudkan saf pembangkang yang mantap dan berwibawa.

“Adalah menjadi tanggungjawab PH sebagai gabungan terbesar di antara pembangkang untuk memimpin dan mengendalikan kerjasama sesama pembangkang secara berhemah dan berkesan.

“Jangan kerana inginkan sokongan dari golongan pembawa budaya politik khianat atau yang kini bersekongkol dengan mereka, maka kita berbalah dan berpecah sesama kita,” tegasnya.

Percaturan licik

Khalid berpendapat sokongan daripada pendukung politik khianat perlu difahami mempunyai percaturan yang licik dengan tujuan akhirnya memecah-belahkan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau berkata, segala urusan dengan pendukung politik khianat wajar dihentikan segera dengan kesemua 108 Ahli Parlimen pembangkang memperkukuhkan kesepaduan setiakawan.

Ujarnya, langkah mempertegaskan kembali asas dan matlamat bersama pembangkang sebagai sebuah pasukan yang kuat menerusi kerjasama PH Plus sekali gus akan menggamit kembali sokongan rakyat.

Walau bagaimanapun, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengakui politik gabungan atau ‘coalition politics’ sememangnya sukar dan memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran.

Oleh itu, jelasnya, setiap anggota gabungan perlu saling menghormati dan keputusan bersifat konsensus perlu diusahakan dengan jujur dan ikhlas.

“Kepentingan setiap parti perlu dipertimbangkan dengan adil, dalam ‘consensus building’ yang menjadi asas tindakan dan polisi.

“AMANAH menyeru pembangkang untuk bersama dalam usaha membina satu ‘grand coalition’ antara semua pembangkang yang berasaskan mandat lalu iaitu penolakan terhadap kleptokrasi, perkauman, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Khalid menegaskan golongan politik khianat pada PRU-15 bakal terpaksa berhadapan dengan ‘grand coalition’ pimpinan PH yang jitu dan mantap dengan berpaksikan politik nilai, jujur, beramanah serta bebas rasuah and bebas khianat.

“Pada masa sama AMANAH turut komited kepada nilai-nilai amanah, ketelusan, pertanggungjawaban serta keadilan yang selaras dengan tuntutan Islam,” tambah Khalid lagi.

Sumber: https://malaysiadateline.com/amanah-sambut-baik-komitmen-pkr-tumpaskan-amalan-politik-khianat/